Penyanyi popular Indonesia, Afgan atau nama sebenarnya Afgansyah Reza, 35, meluahkan rasa syukur selepas berjaya menyempurnakan ibadah haji pertamanya dengan lancar. Afgan menyifatkan pengalaman tersebut sebagai pengalaman paling luar biasa dalam hidupnya.
Menerusi satu hantaran di Instagram, pelantun lagu Lenggang Puspita itu berkata beliau menunaikan ibadah haji secara bersendirian, berbekalkan nekad dan semangat untuk menjadi tetamu Allah SWT pada musim haji tahun ini.
“Alhamdulillah, rasmi jadi pak haji. Sempurnah sudah ibadah haji pertama saya. Ini adalah perjalanan rohani yang sangat indah... semua proses dipermudahkan oleh Allah SWT,” katanya.
Afgan turut menyatakan bahawa pengalaman ini mengajarnya tentang kerendahan hati dan kebergantungan kepada Tuhan, serta menganggap ibadah haji sebagai hubungan istimewa antara hamba dan Pencipta.
Dalam perkongsian tersebut, Afgan memuat naik beberapa gambar sepanjang berada di Tanah Suci. Rata-rata peminat dan netizen menyambut baik berita tersebut dengan ucapan tahniah, serta mendoakan agar beliau mendapat haji yang mabrur.
“Alhamdulillah lengkap ibadah ‘pak haji’… Semoga selamat pulang ke tanah air,” komen seorang netizen.
Terdahulu, pada 30 Mei lalu, Afgan memaklumkan menerusi Instagram bahawa beliau berada di Mekah untuk menunaikan ibadah haji.
Afgan kini secara rasmi bergelar ‘Haji Afgan’, dan pengalamannya menjadi inspirasi kepada ramai peminat yang turut mendoakan agar mereka juga diberikan peluang yang sama.
Sumber: Kosmo Online!
Sertai Telegram kami untuk mendapat berita-berita terkini