Ketua jurulatih Botafogo, Renato Paiva, tidak menolak kemungkinan legenda bola sepak dunia, Cristiano Ronaldo, menyertai kelab Brazil itu menjelang saingan Piala Dunia Kelab 2025 di Amerika Syarikat. Spekulasi ini timbul selepas laporan mendakwa wujud tawaran istimewa daripada sebuah kelab Brazil untuk membawa pemain bintang itu ke pentas antarabangsa.
Dalam satu sidang media, Paiva menyatakan keterujaannya jika diberi peluang untuk melatih Ronaldo, sambil menyifatkan pemain itu masih berbisa meskipun berada di penghujung kariernya.
“Kalau dia datang, tak mungkin kita tolak bintang macam tu... Walaupun pada usianya sekarang, Ronaldo masih mesin gol. Dalam pasukan yang mencipta banyak peluang, dia pasti beri impak,” katanya.
Botafogo merupakan antara empat wakil Brazil, bersama Fluminense, Flamengo dan Palmeiras, yang bakal beraksi dalam edisi sulung Piala Dunia Kelab dengan format 32 pasukan, yang akan berlangsung dari 14 Jun hingga 13 Julai 2025 di Amerika Syarikat.
Setakat ini, identiti rasmi kelab yang menawarkan kontrak kepada Ronaldo masih belum didedahkan. Namun, Paiva memberi bayangan bahawa pemilik Botafogo dari Amerika Syarikat, John Textor, mungkin mempunyai jawapan sebenar tentang potensi perpindahan tersebut.
Dalam pada itu, Al Nassr kelab semasa Ronaldo gagal melayakkan diri ke Piala Dunia Kelab selepas musim tanpa trofi. Kontrak pemain berusia 39 tahun itu juga dijangka tamat pada 30 Jun ini dan masih belum diperbaharui, sekali gus menguatkan lagi spekulasi perpindahannya.
Sumber: Kosmo Online!
Sertai Telegram kami untuk mendapat berita-berita terkini