Pelakon popular Indonesia, Luna Maya, 41, semakin menjadi tumpuan apabila bakal melangsungkan perkahwinan bersama kekasihnya, Maxime Bouttier, 31, pada 7 Mei 2025. Perkhabaran itu dikongsikan sendiri oleh Luna melalui satu video yang dimuat naik di Instagram, disusuli dengan video acara bersiram yang berlangsung hari ini, menandakan persiapan menuju hari bahagianya semakin hampir.
Walaupun wujud jurang usia 10 tahun antara mereka, Luna dan Maxime tetap teguh dalam percintaan mereka dan tidak menjadikannya penghalang untuk berkomitmen ke fasa seterusnya. Dalam satu temu bual podcast bersama media tempatan, Luna terbuka berkongsi mengenai perbincangan mereka termasuk soal hubungan intim dan perubahan fizikal seiring pertambahan usia.
Menurut Luna, walaupun mereka menyedari akan wujud perubahan apabila usia semakin meningkat, mereka sepakat untuk menghadapi cabaran bersama sebagai pasangan dewasa yang matang. Malah, Luna juga pernah memikirkan kemungkinan Maxime jatuh cinta dengan wanita lebih muda di masa depan, namun dia menghadapinya dengan sikap terbuka dan humor.
Luna turut berkongsi bahawa sebelum mengenali Maxime, dia pernah dilamar oleh seorang lelaki selepas menjalinkan hubungan selama dua tahun setengah, namun menolak lamaran tersebut kerana merasakan lelaki itu bukan jodohnya.
Majlis pernikahan mereka bakal diadakan di Bali, kampung halaman Luna Maya, yang dijangka menjadi acara meriah dan menarik perhatian ramai peminat serta media.
Sumber: Kosmo Online!
Sertai Telegram kami untuk mendapat berita-berita terkini