Ketua Rombongan Haji Malaysia, Mohd. Hisham Harun mengingatkan jemaah haji Malaysia agar segera melaporkan kehilangan kad Nusuk kepada Tabung Haji (TH) bagi mengelakkan sebarang kesulitan, terutama ketika berdepan pemeriksaan oleh pihak berkuasa Arab Saudi.
Kad Nusuk, yang diperkenalkan oleh kerajaan Arab Saudi melalui Kementerian Haji dan Umrah sejak tahun lalu, berfungsi sebagai dokumen pengenalan penting yang mengandungi maklumat lengkap jemaah seperti nombor pasport, nombor visa serta kod QR untuk pengesahan visa.
Menurut beliau, pihak berkuasa Arab Saudi menggunakan kad ini untuk memastikan hanya jemaah haji yang mempunyai visa sah dibenarkan memasuki kawasan suci seperti Masjidil Haram. Oleh itu, setiap jemaah perlu membawa kad ini ke mana sahaja mereka pergi.
Sekiranya kad hilang, TH akan membantu mendapatkan kad baharu dan sementara itu akan mengeluarkan dokumen pengenalan sementara seperti salinan visa untuk kegunaan harian jemaah.
Tambah beliau, Malaysia merupakan negara pertama di luar Arab Saudi yang menerima dan mengedarkan kad Nusuk. Tabung Haji bekerjasama rapat dengan Kementerian Haji dan Umrah Arab Saudi serta syarikat pengendali, Masyariq Holdings, untuk memastikan kelancaran proses ini.
Bagi jemaah yang belum menerima kad, mereka diminta untuk bersabar kerana kad tersebut akan diedarkan sebaik sahaja proses percetakan di Mekah selesai.
Sumber: Kosmo Online!
Sertai Telegram kami untuk mendapat berita-berita terkini