Seramai 5,256 jemaah haji Malaysia telah selamat tiba di Madinah menerusi 19 penerbangan setakat semalam sejak operasi haji bermula pada 29 April lalu. Daripada jumlah tersebut, seramai 830 jemaah telah pun tiba secara berperingkat di Mekah bermula 4 Mei.
Menurut Ketua Rombongan Haji Malaysia, Mohd. Hisham Harun, daripada keseluruhan 100 penerbangan yang dijadualkan, sebanyak 19 penerbangan telah mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Putera Mohammed Bin Abdulaziz, Madinah. Pecahan jemaah di Mekah melibatkan 253 jemaah dari kumpulan KT001, 328 dari KT002, dan 256 dari KT003.
Operasi haji berjalan lancar di kedua-dua lokasi, Madinah dan Mekah. Sejumlah 47 penerbangan lagi dijadualkan tiba di Madinah manakala 53 penerbangan akan mendarat di Jeddah sebelum terus ke Mekah. Jemaah yang telah tiba di Mekah telahpun selesai menunaikan ibadah umrah.
Tabung Haji turut menyediakan aktiviti dan bimbingan sepanjang tempoh menunggu wukuf yang dijangka berlangsung dalam masa 30 hari lagi. Untuk jemaah berkerusi roda atau kelainan upaya, kemudahan pengangkutan seperti teksi dari maktab ke Masjidil Haram turut disediakan.
Dalam pada itu, seorang jemaah wanita kini dirawat di pusat rawatan TH di Madinah, namun berada dalam keadaan stabil. Mohd. Hisham menasihatkan jemaah agar segera mendapatkan rawatan di klinik kesihatan sekiranya mengalami masalah kesihatan sepanjang berada di Tanah Suci.
Sumber: Kosmo Online!
Sertai Telegram kami untuk mendapat berita-berita terkini