Kerajaan Arab Saudi kini memperketatkan penguatkuasaan berkaitan ibadah haji dengan menetapkan bahawa hanya individu yang memiliki visa haji yang sah dibenarkan berada di Mekah sepanjang musim haji. Menurut Ketua Konsulat Malaysia di Jeddah, Roslan Sharif, rakyat Malaysia yang berada di Mekah tanpa visa haji diminta keluar segera bermula semalam bagi mengelakkan dikenakan tindakan tegas.
Antara tindakan yang boleh dikenakan oleh pihak berkuasa Arab Saudi termasuk:
- Penahanan dan pengusiran
- Denda sehingga 20,000 riyal
- Larangan memasuki Arab Saudi pada masa akan datang
- Larangan memasuki Kota Suci Mekah bagi pemegang visa ziarah atau lain-lain
Langkah ini berkuat kuasa bermula 1 Zulkaedah hingga 14 Zulhijjah, di mana hanya jemaah haji sah dibenarkan berada di kawasan suci termasuk Arafah dan Mina.
Roslan turut menegaskan bahawa jemaah tanpa permit tidak akan mendapat akses kepada kemudahan asas seperti:
- Perkhidmatan perubatan
- Makanan dan penginapan
- Bimbingan ibadah
Beliau menyeru rakyat Malaysia untuk hanya menggunakan saluran rasmi seperti Tabung Haji (TH) dalam menguruskan pendaftaran dan pelaksanaan ibadah haji. Ini penting bagi menjaga hubungan baik antara Kerajaan Malaysia dan Arab Saudi serta imej negara.
Roslan menyampaikan peringatan ini semasa menyambut ketibaan kumpulan pertama jemaah haji Malaysia seramai 284 orang, termasuk 31 petugas, yang tiba di Madinah menerusi penerbangan KT001.
Sumber: Kosmo Online!
Sertai Telegram kami untuk mendapat berita-berita terkini