Penyanyi yang semakin meningkat naik, Nadeera Zaini, 31, mencuri perhatian ramai apabila berjaya menampilkan persembahan mantap bersama Datuk Seri Siti Nurhaliza dalam program istimewa MagiSiti 2025 yang berlangsung di Zepp Kuala Lumpur dan disiarkan sempena Aidilfitri menerusi Astro.
Dalam program tersebut, Nadeera yang dikenali menerusi lagu Bukan Lagi Kita, menunjukkan kematangan dan kehebatan vokalnya ketika berduet menyanyikan lagu ikonik Nirmala bersama Siti Nurhaliza. Persembahan mereka bukan sahaja memukau penonton, malah menerima pujian meluas daripada netizen yang kagum dengan kemampuan Nadeera menyaingi vokal Biduanita Negara itu.
Kehadiran dan persembahan Nadeera dianggap sebagai angin segar dalam industri muzik tanah air, dengan ramai yang menyifatkan penyanyi kecil molek ini berpotensi besar untuk meneruskan legasi Irama Malaysia. Malah, ramai yang berharap beliau akan tampil dengan lagu genre tersebut selepas ini.
Video persembahan duet mereka yang tular di TikTok turut dibanjiri dengan komen positif. Antara komen yang mencuri perhatian termasuk:
"Kali pertama tengok orang duet dengan Dato Siti tak tenggelam, ‘Nadeera is the next level’!"
"Gilaaa suara Nadeera meremang,"
"Nadeera cepat keluarkan satu lagu Irama Malaysia, cepat!"
Selain duet bersama Tokti, Nadeera turut mempersembahkan lagunya sendiri, Bukan Lagi Kita, yang semakin mendapat tempat di hati peminat.
Penampilan hebat Nadeera dalam MagiSiti 2025 ini membuktikan bahawa beliau merupakan bintang yang sedang bersinar dan layak diberi perhatian sebagai wajah baharu Irama Malaysia.
Sumber: Harian Metro
Sertai Telegram kami untuk mendapat berita-berita terkini