Muhammad Johan Ghazali Zulfikar akan kembali ke gelanggang ONE Championship apabila dijadual membuat perhitungan dengan bintang Colombia yang belum pernah tewas, Johan Estupinan dalam kategori flyweight pada pertarungan ONE 170 di Impact Arena di Bangkok, 24 Januari depan.
Johan, yang mesra disapa Jojo turun dengan misi memburu kemenangan ketujuh daripada lapan penampilan dalam ONE Championship.
Petarung yang mewakili Rentap Muaythai Gym itu berkata, dia tekad untuk terus mengharumkan nama Malaysia di pentas seni mempertahankan diri terbesar itu.
Dalam pertarungan terakhirnya di ONE Championship, Jojo bangkit daripada kekalahan di tangan Nguyen Tran Duy Nhat dari Vietnam dengan kemenangan 'knockout' (KO).
Sebelum ini, Johan turut mencipta detik sensasi apabila menumbangkan Padestuk Fairtex hanya dalam 16 saat pada penampilan sulungnya di ONE Friday Fights 6 pada Februari tahun lalu.
Bagaimanapun, cabaran menanti Johan kali ini tidak mudah. Estupinan, 22, yang diberi julukan "Panda Kick" dan memegang rekod sempurna 25-0, turut mencipta nama sebagai bintang muda berbisa dengan empat kemenangan berturut-turut di pentas ONE Championship, termasuk tiga kemenangan KO.
Sumber: Harian Metro
Sertai Telegram kami untuk mendapat berita-berita terkini