Angel Gomes, bintang muda England, kini melihat keputusan meninggalkan Manchester United sebagai langkah yang tepat untuk pertumbuhan peribadinya. Gomes, yang mengakui bahawa peralihannya dari United tidaklah mudah, berkata bahawa pengalaman tersebut telah menjadikannya individu yang lebih baik dan lebih matang dalam kariernya.
Gomes, yang telah menyertai akademi Manchester United sejak berusia enam tahun, membuat keputusan untuk berhijrah ke kelab Perancis, Lille, pada tahun 2020. Perpindahan ini adalah satu langkah besar dan penuh cabaran bagi pemain tengah berusia 24 tahun ini. Namun, dia merasakan pengorbanannya berbaloi apabila kini terpilih untuk menyertai latihan pusat pasukan kebangsaan England buat kali pertama dalam kerjayanya.
“Apabila saya meninggalkan United, ia lebih kepada untuk jadi individu lebih baik. Saya tahu pada akhirnya saya akan berada di kedudukan saya sekarang,” ujar Gomes.
Dia mengakui bahawa meninggalkan kelab yang telah menjadi sebahagian daripada hidupnya selama bertahun-tahun dan berpindah ke tempat asing adalah satu cabaran besar. Namun, semua pengalaman itu telah membantunya berkembang.
Gomes, yang kini bermain untuk Lille, telah menunjukkan prestasi yang baik sehingga menarik perhatian pengendali sementara England, Lee Carsley. Dia telah dipanggil untuk menyertai dua aksi Liga Negara-Negara Eropah yang akan datang bulan ini.
Gomes berpeluang untuk menunjukkan kemampuannya dan menambat hati barisan kejurulatihan England dalam perlawanan menentang Ireland di Stadium Aviva, Dublin, dan seterusnya bertemu Finland di Stadium Wembley tiga hari kemudian.
Sumber: Kosmo Online!
Sertai Telegram kami untuk mendapat berita-berita terkini