MUNICH – Bintang muda sensasi Sepanyol, Lamine Yamal mencipta sejarah muncul pemain termuda meledak gol dalam saingan Euro selepas membantu pasukan itu menewaskan Perancis 2-1 pada aksi separuh akhir Euro 2024 awal pagi semalam.
Pada perlawanan yang berlangsung di Allianz Arena itu, Sepanyol ketinggalan menerusi jaringan Randal Kolo Muani seawal minit kesembilan sebelum Yamal berjaya menjaringkan gol penyamaan kira-kira 12 minit kemudian dan Dani Olmo meledak gol kemenangan pada minit ke-25.
Yamal yang akan memasuki usia 17 tahun Sabtuini sebelum aksi final awal pagi Isnin berjaya melepaskan rembatan lencong menarik dari luar kotak penalti yang menuju penjuru atas gawang Perancis yang gagal diselamatkan Mike Maignan.
“Saya mendapat bola dan tidak berfikir terlalu lama untuk melepaskan rembatan itu. Saya hanya menikmati perlawanan ini dan bangga bakal beraksi di perlawanan akhir nanti,” kata Yamal.
Pengendali Sepanyol, Luis De La Fuente menzahirkan pujian istimewa buat Yamal dan menganggap jaringan tersebut adalah sentuhan yang ‘genius’.
“Kami semua tahu sejauh mana kemampuan yang dia miliki. Kami perlu berusaha menjaganya. Saya mahu dia terus merendah diri kerana dia mampu untuk terus meningkatkan prestasi. Dia perlu terus belajar dengan sikap dan tahap profesional yang sama untuk menjadi lebih matang di padang.
“Dia bermain seperti seorang pemain yang matang, namun saya meraikannya sebagai salah seorang pemain dalam pasukan ini dan pemain Sepanyol,” jelasnya.
Sementara itu, penjaring gol kemenangan, Dani Olmo mengakui sangat gembira dan tidak sabar untuk beraksi di final buat kali pertama selepas kali terakhir mereka membenam Itali 4-0 untuk merangkul kejuaraan Euro 2012.
“Kami hanya selangkah untuk menuju kegemilangan. Sangat-sangat hampir. Pasukan ini sangat luar biasa dan kami layak untuk menikmati kemenangan ini,” ujarnya.
Sumber: Kosmo Online!
Sertai Telegram kami untuk mendapat berita-berita terkini