MUNICH – Ketua Jurulatih Belanda, Ronald Koeman mengakui kagum dengan persembahan luar biasa dipamerkan para pemainnya ketika meraih kemenangan 3-0 ke atas Romania pada aksu pusingan 16 pasukan terbaik di Allianz Arena.
Aksi awal pagi semalam menyaksikan Cody Gakpo membuka tirai jaringan untuk mengumpul keseluruhan tiga gol dalam kejohanan kali ini sebelum Donyell Malen menambah dua gol lagi untuk The Oranje menempah slot kelompok lapan terbaik.
Kempen kali ini menyaksikan Belanda tidak begitu cemerlang di peringkat kumpulan apabila sekadar mara sebagai pasukan di kedudukan ketiga terbaik apabila hanya mengumpul empat mata termasuk tewas 2-3 kepada Austria pada aksi terakhir.
Bagaimanapun, Belanda membuktikan mereka lebih handal membenam Romania yang merupakan juara Kumpulan E dan Koeman percaya para pemainnya perlu mengekalkan prestasi seperti ini untuk memburu penamat terbaik pada kempen kali ini.
“Sukar untuk saya terangkan mengenai persembahan yang kami pamerkan kerana adakalanya kami bermain dengan teruk, namun kemudian berjaya mencapai tahap tertinggi dalam aksi seterusnya.
“Hari ini, kami bermula dengan baik dan sempurna sejak awal permainan yang menjadi faktor kemenangan. Kalau ada satu perkara yang saya tidak puas hati adalah tempoh kami meledak gol pertama dan kedua adalah terlalu panjang.
“Namun, keputusan sentiasa menjadi perkara yang terpenting. Kami adalah Belanda dan kami perlu bermain dengan baik serta memiliki mentaliti menyerang. Semua pemain sedar mengenai perkara itu.
“Secara keseluruhan, persembahan kami kali ini sangat luar biasa dan ini yang perlu kami perlu kekalkan untuk terus berada dalam saingan. Ini adalah tahapnya, jika kami beraksi lebih rendah daripada tahap ini, kami tidak akan ke final,” katanya.
Sementara itu, kunci kemenangan Belanda kali ini adalah prestasi cemerlang yang terus dipamerkan penyerangnya, Cody Gakpo yang berjaya meledak gol pembukaan untuk menyertai senarai penjaring terbanyak Euro kali ini.
Gakpo bersama tiga lagi pemain, Georges Mikautadze (Georgia), Jamal Musiala (Jerman) dan Ivan Schranz (Slovakia) mendahului saingan sebagai penjaring terbanyak selepas masing-masing meledak tiga gol setakat ini.
Prestasi yang dipamerkan Gakpo bersama Belanda dianggap luar biasa berbanding ketika dia bersama kelabnya Liverpool apabila meledak enam gol dalam 10 penampilan dalam saingan utama iaitu di Piala Dunia dan Euro.
“Belanda memiliki banyak memori, tetapi kami berada di sini untuk mencipta satu lagi kenangan yang istimewa untuk pasukan ini,” jelas Gakpo.
Aksi suku akhir nanti menyaksikan Belanda bakal bertemu Turkiye pada aksi yang berlangsung di Olympiastadion, Berlin yang akan berlangsung awal pagi Ahad ini.
Sumber: Kosmo Online!
Sertai Telegram kami untuk mendapat berita-berita terkini