• Home
  • Programme
  • Charts
  • Trending
  • Community
  • Media
  • Podcast
Listen Now
Back

BILIK BERITA CATS

16 November 2026 | 01:19 PM

RM12 Bilion, 99 Projek Persekutuan Pacu Pembangunan & Peluang Kerjaya Anak Muda Sarawak!

KOTA SAMARAHAN, 16 November - Sebanyak 99 projek pembangunan fizikal Persekutuan yang bernilai keseluruhan RM12 bilion sedang giat dilaksanakan di Sarawak di bawah seliaan Jabatan Kerja Raya (JKR) Malaysia, dengan 35 daripadanya bernilai RM5 bilion kini berada dalam fasa pembinaan.

Menteri Kerja Raya, Dato’ Sri Alexander Nanta Linggi berkata, pelaksanaan projek-projek berimpak tinggi berkenaan mencerminkan komitmen berterusan Kerajaan Persekutuan dalam memperkukuh infrastruktur asas di Bumi Kenyalang, termasuk projek mega Lebuh Raya Pan Borneo dan Sarawak-Sabah Link Road (SSLR) yang menjadi pemangkin mobiliti serta peluang ekonomi generasi muda.

Menurut beliau, bagi mempercepatkan penyampaian projek di peringkat akar umbi, semua projek bernilai RM50 juta dan ke bawah telah diserahkan kepada JKR Sarawak untuk dilaksanakan, manakala JKR Malaysia menumpukan perhatian kepada projek Persekutuan berskala besar di bawah tanggungjawabnya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas menyempurnakan Majlis Penyerahan Projek Pembinaan Rumah Keluarga Angkatan Tentera (RKAT) Pelbagai Kelas di Kem Muara Tuang, di sini pada Isnin.

Mengulas lanjut mengenai projek RKAT Kem Muara Tuang, Dato’ Sri Alexander memaklumkan bahawa pembangunan di kawasan seluas 28.3 ekar itu melibatkan nilai kontrak semasa berjumlah RM119.1 juta dan menyediakan sebanyak 190 unit kediaman selesa untuk anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM) serta keluarga mereka.

Projek berkenaan turut dilengkapi pelbagai kemudahan sokongan komuniti termasuk surau, tadika, taska, rumah sampah, rumah pam, serta infrastruktur mekanikal dan elektrikal bagi memenuhi keperluan harian penghuni.

Menurut Alexander lagi, projek RKAT yang dilaksanakan dalam tempoh tiga tahun itu berjaya disiapkan mengikut jadual selepas mengambil kira lanjutan masa (EOT) susulan pertambahan skop kerja, dengan Tempoh Tanggungan Kecacatan (DLP) ditetapkan selama dua tahun bagi memastikan kontraktor membaiki sebarang kerosakan di bawah pemantauan rapi JKR.

Dalam usaha melonjakkan kecekapan penyampaian projek infrastruktur negara, Kementerian Kerja Raya (KKR) kini giat membudayakan sasaran menyiapkan projek lebih awal daripada jadual atau Ahead of Time (AOT) di samping mengurangkan kelewatan akibat kelemahan pengurusan kewangan, tenaga kerja, dan penyelarasan tapak oleh kontraktor.

“KKR turut memperkukuh kapasiti teknikal dan penyelarasan antara JKR Malaysia, JKR Sarawak serta agensi berkaitan, termasuk Jabatan Tanah dan Ukur bagi menangani kekangan sumber manusia teknikal, pengambilan tanah dan pengalihan utiliti yang boleh mempengaruhi kelancaran pelaksanaan projek,” tegasnya.

Majlis penyerahan tersebut turut dihadiri oleh Timbalan Ketua Setiausaha (Pembangunan) Kementerian Pertahanan Malaysia, Dato’ Abdul Hadi Omar; Setiausaha Persekutuan Sarawak, Dato’ Ahmad Nadzri Mohd Hassan; Pengarah Pembinaan Pasukan Projek Khas 2 JKR Malaysia, Dato’ Ir. Jasmi Wahab; Asisten Ketua Staf Markas Tentera Darat – G5, Mejar Jeneral Dato’ Ts. Reizal Arif Tan Sri Ismail; Panglima 1 Divisyen, Mejar Jeneral Dato’ Mohd Sobirin Mohd Yusof; Wakil Pengarah Cawangan Kerja Keselamatan JKR Malaysia, Ir. Izrul Idris; serta Pengarah Urusan Faltech Engineering Sdn. Bhd., Fazila Midi. 

Sumber: Laman Facebook Rasmi Jabatan Penerangan Sarawak 

DOWNLOAD OUR FREE APP NOW!

  • FOLLOW ON SOCIAL MEDIA AND DOWNLOAD OUR APP!
  • FOLLOW ON SOCIAL MEDIA AND DOWNLOAD OUR APP!
  • FOLLOW ON SOCIAL MEDIA AND DOWNLOAD OUR APP!
  • FOLLOW ON SOCIAL MEDIA AND DOWNLOAD OUR APP!
  • FOLLOW ON SOCIAL MEDIA AND DOWNLOAD OUR APP!

GET CONNECTED WITH US

I would love to receive more updates from Cats FM!

THE COMPANY

  • About Us
  • Advertise With US
  • Career With Us
  • Contact Us
  • General T & C

STATION

  • Programs
  • Contest
  • CATS Rangers

TRENDING

  • What’s Hot?
  • Artist of the month

CHARTS

  • CATS 30
  • CATS Prebiu
  • Lagu Tebilang CATS

MEDIA

  • Photo Gallery
  • Video Gallery
  • Podcast

COMMUNITY

  • Waktu Solat
  • CATS Activity

© Cats FM 2026

Social Media :

  • Facebook
  • Instagram
  • Twitter / X
  • TikTok