KUCHING, 3 November — Penyanyi tempatan Sarawak, Zah Amirul, mengakui rasa tertekan apabila kerap dikatakan mempunyai aura serta wajah seiras bintang ternama dari negara jiran.
Zah, atau nama sebenarnya Amirul Hamzah Sarkawi (35), tidak menolak bahawa pada awalnya, perhatian daripada peminat muzik tempatan dan serantau memberikan keterujaan tersendiri buat dirinya.
“Apabila sering disamakan begitu, memang sebagai penggiat muzik kita rasa gembira. Cuma kadang-kadang timbul rasa tertekan apabila ada yang sering membanding-bandingkan.
"Namun, saya rasa adalah lebih baik jika semua orang melihat saya sebagai Zah Amirul,” ujarnya jujur sambil berharap bakat serta identiti seninya dinilai secara adil tanpa dibayangi populariti penyanyi lain.
Nama Zah Amirul mula mendapat perhatian ramai terutamanya selepas beliau terpilih menyertai sesi uji bakat berprestij, seterusnya berpeluang berkongsi pentas bersama sebuah kumpulan ternama Nusantara.
Mengulas mengenai perkembangan terbaharunya, Zah mendedahkan fasa baharu kerjayanya bakal menyaksikan pengaktifan semula kumpulan asalnya, Jejak Biru.
Menurut Zah, perancangan rapi sedang giat dijalankan bagi memastikan band tersebut kembali mewarnai persada muzik menerusi pelancaran single baharu menjelang hujung tahun ini atau selewat-lewatnya Januari depan.
"Perancangannya memang mahu dilancarkan pada hujung tahun ini, mungkin sekitar Disember atau Januari. Jika tiada sebarang halangan, insya-Allah Disember ini," tambahnya.
Beliau berkata demikian dalam sesi ditemu bual khas bersama Bilik Berita CATS, sempena program Malam 'Lepak' PETROS-CATS di Kuching, hari ini.
Apabila diusik mengenai perancangan peribadi selain kerjaya muzik, Zah mendedahkan satu kejutan yang bakal menantinya pada masa akan datang.
Sambil berseloroh penuh makna, beliau mengiyakan bahawa tahun 2027 mungkin membawa fasa baharu yang lebih besar dalam kehidupannya.
"Sebenarnya perancangan selain muzik mengikut apa yang diinginkan semasa. Jadi, untuk perancangan seterusnya, mungkin ke pelamin. Insya-Allah, sasarannya pada tahun 2027," katanya sambil tersenyum.
Dengan semangat baharu bersama kumpulan Jejak Biru serta perancangan peribadi menuju 2027, anak seni berjiwa besar itu pasti mahu terus melangkah dan dikenali atas bakatnya sendiri—sebagai Zah Amirul.
#BilikBeritaCATS #CATSFM #Umobile
Back