KUCHING, 3 November — Selepas kejayaan melancarkan single terbaharunya pada April lalu, penyanyi Nuha Bahrin kini bersedia untuk mempertaruhkan karya baharu menjelang penghujung tahun ini.
Nuha atau nama sebenarnya, Nuha Sakina Saiful Bahrin (26) berkata, karya lagu baharu itu sudahpun siap sepenuhnya, dan dijadual untuk dilancarkan pada awal Disember ini.
Menurutnya, lagu terbaharu itu berkemungkinan akan menampilkan genre muzik yang berbeza daripada karya-karya yang pernah dihasilkannya sebelum ini.
“Nuha rasa kita perlu bereksperimen kerana nyanyian dan muzik adalah tentang mencuba sesuatu yang baharu serta mengekspresikan perkara yang kita suka,” katanya.
Beliau turut meluahkan keterujaan untuk berkongsi karya berkenaan dengan peminat, selain menyifatkan peluang kerjasama dengan pihak luar negara untuk lagu itu sebagai satu pencapaian yang membanggakan.
Sementara itu, bagi single 'Malam-Malam' hasil ciptaan komposer Ezra Kong, Nuha menyifatkan kerjasama semula dengan komposer itu sebagai antara pencapaian terbesar tahun ini, memandangkan kali terakhir mereka bekerjasama adalah pada tahun 2020.
Justeru, peluang untuk kembali berganding tenaga pada tahun ini amat disyukuri, selain membuka ruang kepadanya untuk meneroka pengalaman dan peluang baharu dalam industri muzik.
Berhubung perancangan kerjayanya bagi tahun hadapan, Nuha berharap dapat menghasilkan sekurang-kurangnya sebuah album mini.
Bagaimanapun, buat masa ini, beliau mahu memberikan tumpuan sepenuhnya terhadap perkembangan kerjaya muziknya, sebelum meneroka impian lain yang masih belum tercapai.
Beliau berkata demikian dalam sesi ditemu bual khas bersama Bilik Berita CATS, sempena program Malam 'Lepak' PETROS-CATS di Kuching, baru-baru ini.
Dalam pada itu, Nuha menyifatkan sambutan masyarakat Sarawak terhadap persembahannya pada program berkenaan sebagai sangat menggalakkan.
Beliau malah kagum dengan keterbukaan dan semangat penonton yang disifatkannya sebagai 'sangat sporting'.
Menariknya, persembahan tersebut merupakan pengalaman pertamanya membuat persembahan di Bumi Kenyalang.
Sehubungan itu, beliau berharap dapat diberikan lebih banyak peluang untuk mengadakan persembahan dan mendekati peminat di Sarawak pada masa akan datang.
#BilikBeritaCATS #CATSFM #Umobile
Back