CYBERJAYA - Penjawat awam boleh dikenakan tindakan tatatertib sekiranya didapati melanggar arahan larangan penggunaan aplikasi navigasi Waze yang telah berkuat kuasa serta-merta.
Ketua Pengarah Majlis Keselamatan Negara (MKN), Datuk Raja Nushirwan Zainal Abidin menegaskan bahawa arahan yang dikeluarkan menerusi surat edaran Ketua Setiausaha Negara (KSN), Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar itu wajib dipatuhi.
Pelaksanaan arahan berkenaan dipantau secara rapi di peringkat kementerian dan agensi oleh ketua jabatan masing-masing demi memelihara keselamatan maklumat.
“Arahan ini terpakai serta-merta, daripada segi pelaksanaan arahan ini, ada caranya, tetapi secara umumnya kita serahkan kepada ketua jabatan masing-masing. Pelanggaran mana-mana arahan oleh KSN membawa implikasi dari sudut tindakan disiplin,” kata beliau dalam taklimat keselamatan di sini pada Khamis (22 Oktober 2026).
Pendekatan Berfasa Elak Isyarat Negatif Industri ICT
Mengulas mengenai pendekatan terhadap masyarakat awam, Raja Nushirwan menjelaskan bahawa kerajaan mengambil pendekatan berfasa yang berasaskan pendidikan awam.
Langkah tidak mengenakan sekatan atau pengharaman serta-merta ke atas aplikasi itu diambil bagi mengimbangi isu keselamatan data negara dengan hak kebebasan bersuara serta kebebasan memilih rakyat.
"Tindakan tergesa-gesa mengharamkan aplikasi berkenaan dikhuatiri memberi isyarat negatif terhadap ekosistem pembangunan aplikasi lain dan sektor Teknologi Maklumat dan Komunikasi (ICT) negara secara menyeluruh," tambah beliau.
Peralihan Ke Aplikasi Navigasi Tempatan 'TuJu'
Sehubungan dengan itu, beliau menggalakkan orang ramai agar mengambil langkah proaktif menyahpasang (uninstall) aplikasi Waze dan beralih kepada platform alternatif tempatan seperti aplikasi “TuJu” yang dibangunkan oleh Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM).
Terdahulu, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim memaklumkan keputusan larangan ke atas penjawat awam dibuat berasaskan kedudukan Waze Mobile Ltd selaku pengawal data pengguna yang diperbadankan dan beroperasi di bawah undang-undang Israel.
Kerajaan sekali lagi mengingatkan seluruh rakyat Malaysia supaya mengurangkan kebergantungan terhadap aplikasi berkenaan demi memastikan jaminan perlindungan data peribadi yang lebih utuh.
Sumber: BERNAMA
Back