KUCHING - Sekolah Tunku Putra-HELP (TPH) mengesahkan sesi persekolahan di kampus berkenaan akan disambung semula esok, Khamis (22 Oktober 2026) selepas mendapat kebenaran rasmi daripada pihak berkuasa.
Pihak pengurusan TPH menerusi satu kenyataan kenyataan media rasmi pada Rabu memaklumkan, susulan insiden pagi tadi di mana seorang pelajar didakwa mencederakan seorang guru, protokol respons kecemasan telah diaktifkan serta-merta.
Guru dan kakitangan sekolah bertindak pantas dengan menghubungi pihak polis serta perkhidmatan ambulans tanpa sebarang kelengahan.
"Guru yang tercedera telah dibawa ke hospital menggunakan ambulans untuk rawatan lanjut. Beliau kini berada dalam keadaan stabil dan tidak mengalami kecederaan kritikal," menurut kenyataan pihak sekolah.
Suspek Dalam Tahanan Polis, Bukan Lagi Pelajar TPH
Mengulas mengenai pelajar terbabit, pihak sekolah mengesahkan suspek kini berada dalam tahanan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan disahkan tidak lagi berstatus sebagai pelajar aktif di TPH.
"Murid-murid di bilik darjah terjejas berjaya dipindahkan dengan selamat dan tiada kecederaan lain dilaporkan. Sesi persekolahan diakhiri lebih awal sebagai langkah berjaga-jaga atas nasihat pihak polis," jelas kenyataan berkenaan.
Kes berkenaan kini diserahkan sepenuhnya kepada PDRM untuk siasatan lanjut dan TPH memberi jaminan akan memberi kerjasama penuh kepada pihak berkuasa.
Perketat Keselamatan Dan Tempatkan Polis Bantuan
Bagi menjamin keselamatan seluruh warga sekolah, TPH telah menyemak semula protokol keselamatan kampus dengan khidmat nasihat daripada pihak berkuasa.
Berkuat kuasa serta-merta, tiga anggota polis bantuan dipenempatkan di premis sekolah selain pemeriksaan keselamatan yang sewajarnya dijalankan di pintu masuk kampus.
Pihak Pengurusan Kanan TPH juga akan mengadakan perhimpunan khas bagi menyampaikan penjelasan, memberi jaminan keselamatan, serta menyediakan sokongan kaunseling kepada pelajar yang memerlukan.
Pihak TPH turut menyeru orang awam agar tidak membuat sebarang spekulasi atau menyebarkan maklumat tidak sahih yang boleh mengganggu proses siasatan polis.
Sumber: Kenyataan Media Tunku Putra-HELP School
Back