KUCHING - Kerajaan Sarawak menerusi Unit Hal Ehwal Agama-Agama Lain (UNIFOR) menyalurkan peruntukan berjumlah RM20 juta bagi membantu menaik taraf infrastruktur 129 sekolah mubaligh di seluruh negeri.
Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata, bantuan kewangan terbaharu itu merupakan sebahagian daripada komitmen berterusan kerajaan negeri untuk menangani keperluan penyelenggaraan dan penambahbaikan kemudahan pendidikan sekolah-sekolah berkenaan.
Majlis penyerahan cek bantuan fasa pertama tahun ini telah diadakan di Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak pada Jumaat (16 Oktober 2026).
"Bantuan ini sememangnya membawa perubahan besar kepada sekolah mubaligh, gereja dan rumah-rumah ibadat. Sebelum program ini diperkenalkan, mereka menghadapi banyak kesukaran untuk menyelenggara dan membina kemudahan baharu," kata beliau ketika ditemui media.
Pecahan Agihan Bantuan Kepada 6 Badan Gereja
Datuk Amar Douglas Uggah yang juga Menteri Bertanggungjawab ke atas UNIFOR menjelaskan bahawa penyerahan bantuan fasa pertama ini melibatkan enam badan gereja penerima utama di Sarawak.
Anglican Diocese of Kuching menerima peruntukan terbanyak iaitu RM7,751,900, diikuti Roman Catholic Archdiocese of Kuching yang menerima RM4,961,216, manakala Roman Catholic Diocese of Sibu menerima RM3,565,874.
Selain itu, Persidangan Tahunan Cina Methodist Sarawak (SCAC) menerima RM1,395,342, Persidangan Tahunan Iban Methodist Sarawak (SIAC) menerima RM1,240,402, dan Roman Catholic Diocese of Miri menerima RM1,085,266.
Penghargaan Kepada Kepimpinan Kerajaan Sarawak
Beliau bagi pihak kesemua penerima bantuan turut menyampaikan penghargaan setinggi-tingginya kepada pimpinan Kerajaan Gabungan Parti Sarawak (GPS) serta Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg.
"Bagi pihak semua penerima bantuan pada hari ini, kami mengucapkan terima kasih kepada Kerajaan GPS dan Premier Sarawak atas keprihatinan serta sokongan padu yang sentiasa dihulurkan," tambah beliau.
Mewakili Pihak Berkuasa Sekolah Mubaligh pada majlis berkenaan ialah barisan penasihat mereka merangkumi Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat Sarawak Dato Sri Roland Sagah Wee Inn, Menteri Pengangkutan Sarawak Dato Sri Lee Kim Shin, Menteri Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah Sarawak Dato Sri Dr Stephen Rundi Utom, serta Timbalan-Timbalan Menteri Negeri.
Sumber: Unit Komunikasi Awam Sarawak - UKAS
Back