KUCHING: Pembangunan bakat anak Sarawak dalam bidang sains dan teknologi amat penting bagi memastikan kepelbagaian sumber semula jadi negeri dapat dimanfaatkan secara optimum untuk memacu pertumbuhan ekonomi.
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, Sarawak memiliki kelebihan dari segi potensi tenaga merangkumi hidro, solar, biojisim, dan gas asli.
Kepelbagaian sumber terbabit membuka peluang luas kepada Sarawak untuk meneroka pembangunan tenaga alternatif yang bersih, termasuk penghasilan hidrogen daripada air.
“Untuk menukarkan sumber tersebut kepada tenaga, kita memerlukan tenaga mahir yang sekurang-kurangnya mempunyai asas dalam bidang sains. Itulah sebabnya Kerajaan Sarawak memberikan penekanan terhadap pendidikan,” kata beliau.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Makan Malam Penghargaan dan Anugerah Swinburne Sarawak 2026 di sebuah hotel terkemuka di sini, pada Selasa malam, 13 Oktober.
Gabungan Keupayaan Manusia Dan Kepakaran AI
Pada perkembangan sama, Datuk Patinggi Abang Johari turut menekankan kepentingan melahirkan lebih ramai anak tempatan yang pakar dalam bidang algoritma dan Kecerdasan Buatan (AI) bagi memenuhi keperluan teknologi masa hadapan.
Mengulas lanjut, beliau menjelaskan bahawa meskipun AI berupaya memproses data secara sistematik dan tepat berdasarkan pengaturcaraan, kebijaksanaan manusia yang terbentuk menerusi pengalaman tetap menjadi kunci utama penyelesaian.
Gabungan keupayaan pemikiran manusia dengan teknologi AI, disokong oleh kekayaan sumber semula jadi negeri, diyakini mampu memacu pertumbuhan ekonomi Sarawak ke paras yang lebih tinggi.
Pengiktirafan Graduan Cemerlang Swinburne
Pada kemuncak majlis berkenaan, Premier Sarawak berkesempatan menyampaikan Anugerah Graduan Cemerlang kepada Evan Wong Kuan Seng dan Anugerah Graduan Cemerlang Sarawak kepada Nursyahida Abdul Rashid.
Selain itu, seramai 10 graduan cemerlang Universiti Teknologi Swinburne Kampus Sarawak turut menerima Anugerah Industri bagi Prestasi Akademik Cemerlang hasil tajaan pelbagai rakan korporat seperti Sarawak Information Systems Sdn Bhd (SAINS), CPA Australia, EY, KPMG, dan Hock Seng Lee Berhad.
Majlis turut dihadiri Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Prof Dr Sim Kui Hian, Pengerusi Lembaga Pengarah Swinburne Sarawak Datuk Amar Jaul Samion, serta Naib Presiden merangkap Pendaftar Universiti Teknologi Swinburne, Ewan Evans.
Sumber: Unit Komunikasi Awam Sarawak - UKAS
Back