KUALA LUMPUR - Sistem dan perkhidmatan utama Lembaga Tabung Haji (TH) kini kembali beroperasi sepenuhnya selepas dihentikan sementara akibat serangan siber pada 8 Oktober lepas.
Pihak TH dalam satu kenyataan rasmi hari ini (12 Oktober) memakluman bahawa pengaktifan semula sistem berkenaan dilakukan selepas pemeriksaan keselamatan menyeluruh serta langkah pengukuhan sistem dijalankan.
Kenyataan itu turut mengesahkan bahawa cawangan TH di Kedah, Terengganu, dan Kelantan telah beroperasi sejak semalam, manakala cawangan di negeri-negeri lain serta perkhidmatan bank rakan strategik dibuka seperti biasa mulai hari ini.
“TH memberikan jaminan bahawa simpanan pendeposit adalah selamat. Pemantauan rapi serta pengukuhan keselamatan akan diteruskan bagi memastikan sistem dan perkhidmatan yang diaktifkan semula beroperasi dengan selamat dan lancar,” jelas kenyataan berkenaan.
Siasatan Bersama NACSA Dan Laporan Polis
Mengulas mengenai insiden serangan siber tersebut, TH menyifatkan tindakan pencerobohan berkenaan sebagai satu perbuatan jenayah terancang yang bertujuan menjejaskan perkhidmatan agensi berkenaan serta negara.
Susulan itu, TH telah membuat laporan polis berasingan selain melaporkan insiden berkenaan kepada Agensi Keselamatan Siber Negara (NACSA) serta Jabatan Perlindungan Data Peribadi (JPDP) untuk siasatan lanjut.
Status Perkhidmatan Aplikasi THiJARI
Bagi platform perkhidmatan digital THiJARI, hampir semua fungsi utama telah dipulihkan kecuali tiga fungsi khusus iaitu penetapan semula kata laluan, pendaftaran pengguna baharu, dan pembukaan akaun secara dalam talian.
Ketiga-tiga fungsi terbabit masih memerlukan tindakan pemulihan lanjut sebelum diaktifkan semula secara berperingkat dalam masa terdekat.
TH turut memohon maaf atas sebarang kesulitan dan menggesa pendeposit yang mengesan sebarang transaksi luar biasa atau memerlukan bantuan untuk terus menghubungi Pusat Perhubungan TH (THCC) di talian 03-6207 1919.
Sumber: BERNAMA
Back