KUALA LUMPUR - Kementerian Pengangkutan (MOT) kini sedang membincangkan langkah penguatkuasaan bagi menangani kegiatan penjualan semula tiket penerbangan AirBorneo oleh pihak ketiga tanpa kebenaran.
Timbalan Menteri Pengangkutan, Datuk Hasbi Habibollah berkata, perkara berkenaan berada dalam perhatian Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) untuk memastikan pengguna tidak terbeban dengan harga tiket yang melampau serta caj tersembunyi.
“Kita tak mahu ada pihak ketiga. Kita pernah merasai sebelum ini, ada sebuah syarikat penerbangan juga, pihak ketiga yang menjual tiket dan kadang-kadang merugikan pengguna sendiri. Perkara itu dalam perbincangan dan tindakan akan diambil jika perlu,” kata beliau di Dewan Rakyat, hari ini (12 Oktober).
Subsidi RM209 Juta Dan Harga Siling 39 Laluan RAS
Menjawab soalan berhubung ketersambungan penerbangan di kawasan luar bandar, Hasbi memaklumkan bahawa Kerajaan Persekutuan menyalurkan peruntukan subsidi tahunan sebanyak RM209 juta kepada AirBorneo bagi mengendalikan Perkhidmatan Udara Luar Bandar (RAS) di Sabah, Sarawak, dan Labuan.
Sebagai pengendali RAS di bawah Obligasi Perkhidmatan Awam (PSO), AirBorneo tertakluk kepada kawalan harga siling tambang asas yang ditetapkan antara RM30 hingga RM243 sehala bagi 39 laluan.
"Kerajaan melalui CAAM bertindak selaku penasihat dan pengurus RAS untuk membuat pengawasan berterusan. Penilaian semula struktur harga siling akan dijalankan dari semasa ke semasa bagi menjamin kebolehcapaian perkhidmatan udara pada kadar munasabah," tambah beliau.
Perkembangan Laluan Komersial Kuching-Kuala Lumpur
Datuk Hasbi turut menyentuh mengenai penerbangan komersial AirBorneo bagi laluan Kuching-Kuala Lumpur yang kini beroperasi sebanyak 14 kali seminggu sejak 20 Julai lepas menggunakan pesawat Boeing 737-800 bernilai RM375 sehala bagi kelas ekonomi.
Syarikat penerbangan berkenaan merancang untuk menambah kekerapan dan memperkenalkan laluan baharu secara berperingkat berdasarkan permintaan pasaran semasa.
Sumber: BERNAMA
Back