KUCHING - Tiga lelaki tempatan berusia antara 30 hingga 41 tahun berjaya ditahan pihak polis selepas dipercayai terlibat dalam kes kecurian kabel di Kampung Siol Kandis, Petra Jaya, semalam, 2 Oktober.
Ketua Polis Daerah Kuching, ACP Alexson Naga Chabu mengesahkan ketiga-tiga suspek ditangkap oleh sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah (D4), Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sarawak kira-kira jam 11.20 pagi.
Beliau berkata kejadian kecurian berkenaan dikesan berlaku kira-kira jam 10.20 pagi apabila kesemua suspek bertindak memotong kabel di lokasi sebelum melarikan barang curi berkenaan.
Suspek Mempunyai Rekod Jenayah Dan Positif Dadah
Hasil semakan rekod kepolisan mendapati ketiga-tiga suspek mempunyai beberapa rekod jenayah lampau.
Selain itu, ujian saringan awal air kencing yang dijalankan ke atas kesemua suspek turut mengesahkan mereka positif dadah.
Kesemua suspek kini ditahan dan kes disiasat mengikut Seksyen 431A Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.
Pihak Polis Mohon Kerjasama Awam
Pihak polis menyeru mana-mana individu yang mempunyai maklumat tambahan berhubung kejadian agar tampil membantu siasatan.
Orang ramai boleh menghubungi Penolong Pegawai Penyiasat, Sarjan Mancha Anak Gubak di talian 019-5958260 atau terus ke Bilik Gerakan IPD Kuching di talian 082-244444.
Sumber: Kenyataan Media KPD Kuching ACP Alexson Naga Chabu
Back