MIRI - Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Miri berjaya mengeluarkan 20 keping saman serta menahan seorang wanita tempatan menerusi Operasi Khas “Op Mabuk” yang dijalankan di Jalan Miri-Airport, awal pagi tadi (3 Oktober).
Ketua Polis Daerah Miri, ACP Mohd Farhan Lee bin Abdullah berkata, operasi yang bermula jam 11.00 malam pada Jumaat sehingga jam 3.00 pagi Sabtu itu diketuai oleh seorang Pegawai Kanan Polis bersama tujuh anggota Trafik.
Langkah penguatkuasaan ini bertindak sebagai tindakan pencegahan berterusan terhadap pelanggaran undang-undang jalan raya, terutamanya kesalahan memandu di bawah pengaruh minuman beralkohol.
“Sepanjang operasi dijalankan, seramai 95 individu terdiri daripada 80 lelaki dan 15 perempuan telah diperiksa bersama 72 buah kenderaan. Hasil pemeriksaan mendapati pelbagai kesalahan lalu lintas telah dikesan antaranya memandu tanpa lesen memandu, pengubahsuaian ekzos, cukai jalan tamat tempoh, tidak mempamerkan huruf 'P' pada kenderaan serta lain-lain kesalahan teknikal,” katanya dalam kenyataan media rasmi.
Wanita 59 Tahun Ditahan Untuk Siasatan Lanjut
Dalam operasi berkenaan, pihak polis telah menahan seorang wanita tempatan berumur 59 tahun kerana disyaki memandu di bawah pengaruh alkohol.
Hasil ujian saringan awal pernafasan menggunakan alat Screening Device 2 (SD2) mengesahkan kehadiran alkohol dalam badan suspek semasa mengendalikan kenderaan.
Susulan penahanan tersebut, sampel darah suspek telah diambil di Jabatan Forensik Hospital Miri bagi tujuan ujian makmal dan siasatan lanjut.
Amaran Tegas Pihak Polis
ACP Mohd Farhan Lee menegaskan bahawa jika disabitkan kesalahan di bawah Seksyen 45A(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987, pesalah boleh dikenakan denda antara RM10,000 hingga RM30,000, hukuman penjara maksimum dua tahun, serta hilang kelayakan memegang lesen memandu selama dua tahun bagi kesalahan pertama.
Pihak PDRM menegaskan tidak akan berkompromi terhadap mana-mana pihak yang membahayakan nyawa sendiri serta pengguna jalan raya yang lain, dan menggesa masyarakat agar sentiasa mematuhi peraturan trafik yang ditetapkan.
Sumber: Laman Facebook Rasmi Polis Daerah Miri
Back