SARATOK - Pihak polis berjaya menahan seorang wanita tempatan berusia 23 tahun selepas disyaki berkhidmat sebagai ejen jualan tambah nilai judi dalam talian di sebuah kedai runcit di Ulu Krian, pada Khamis, 1 Oktober.
Tangkapan berkenaan dilakukan oleh sepasukan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Daerah (BSJD) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Saratok menerusi pelaksanaan Op Dadu kira-kira jam 6.55 petang.
Ketua Polis Daerah Saratok, DSP Mathew Manggie mengesahkan suspek ditangkap sewaktu berada di kaunter premis berkenaan ketika dipercayai sedang aktif menjalankan transaksi penjualan tambah nilai judi atas talian.
“Polis turut merampas sebuah telefon bimbit Samsung A15 berwarna hijau, sekeping kertas yang tercatat nombor ID judi tambah nilai dalam talian serta sejumlah wang tunai. Saringan air kencing terhadap suspek turut didapati negatif,” katanya dalam kenyataan rasmi hari ini, 2 Oktober.
Mengaku Cari Pendapatan Sampingan Sejak Seminggu Lalu
Hasil siasatan awal pihak polis mendapati suspek yang berasal dari Ulu Krian dan tidak mempunyai pekerjaan tetap itu mengaku baru memulakan kegiatan haram berkenaan kira-kira seminggu lalu selepas mula bekerja di kedai runcit tersebut.
Aktiviti jualan tambah nilai judi itu dijalankan bagi meraih pendapatan sampingan dengan menyasarkan pelanggan di sekitar kawasan berkenaan.
Kes kini disiasat mengikut Seksyen 4B(a) Akta Rumah Judi Terbuka 1953 yang memperuntukkan tindakan tegas ke atas individu yang mengendalikan atau membantu dalam perniagaan perjudian haram.
Sumber: Kenyataan Media KPD Saratok
Back