LAWAS - Pihak polis berjaya merampas selaras senapang patah buatan sendiri berserta tiga butir peluru berikutan penahanan dua lelaki tempatan dalam satu operasi bersepadu di Jalan Lawas-Damit, Selasa lalu, (29 September).
Ketua Polis Daerah Lawas, Deputi Superintenden (DSP) Liong Tindan berkata, kedua-dua suspek yang berusia 49 tahun itu ditahan oleh pihak berkuasa kira-kira jam 11.50 pagi di sebuah premis kediaman.
Hasil pemeriksaan teliti di dalam rumah berkenaan telah membawa kepada penemuan senjata api dan amunisi haram tanpa lesen yang sah.
“Pemeriksaan dalam rumah berkenaan telah menjumpai satu laras senapang patah di dalam sebuah bilik dan tiga butir peluru senapang patah di dalam dapur rumah berkenaan. Siasatan lanjut mendapati senapang patah berkenaan adalah buatan sendiri dan tiada lesen yang sah,” katanya dalam satu kenyataan rasmi hari ini, 2 Oktober.
Suspek Positif Dadah Dan Mempunyai Rekod Lampau
Mengulas lanjut, beliau memberitahu ujian saringan air kencing yang dijalankan ke atas kedua-dua suspek mendapati mereka positif dadah jenis amphetamine dan methamphetamine.
Hasil semakan rekod kepolisan turut mendapati salah seorang daripada suspek berkenaan mempunyai tiga rekod kesalahan jenayah lampau.
Kesemua suspek dan barang rampasan telah dibawa ke ibu pejabat polis bagi tindakan lanjut. Kes kini disiasat mengikut Seksyen 8(a) Akta Senjata Api 1960 serta Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952.
Lapan Larian Kes Dadah Ditahan Dalam Operasi Berasingan
Sementara itu dalam perkembangan berkaitan, DSP Liong Tindan memaklumkan seramai lapan lagi lelaki telah ditahan di beberapa lokasi berasingan di sekitar daerah Lawas bermula 23 September lalu sehingga semalam.
Kesemua mereka ditahan selepas keputusan ujian saringan air kencing mengesahkan mereka positif dadah, dan kes turut disiasat mengikut Seksyen 15(1)(a) ADB 1952.
Sumber: Kenyataan Media KPD Lawas
Back