KUALA LUMPUR - Kerajaan menyasarkan untuk meningkatkan tahap Kecukupan Pendapatan Persaraan kepada enam daripada setiap 10 ahli Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) bagi mencapai penanda aras Simpanan Asas RM390,000 pada usia 60 tahun menjelang tahun 2030.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim memaklumkan, pada masa ini hampir empat daripada 10 ahli KWSP berada di landasan untuk mencapai penanda aras berkenaan di bawah Rangka Kerja Kecukupan Pendapatan Persaraan KWSP.
Beliau berkata demikian dalam teks ucapan oleh Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan dalam ucaptama Persidangan Kesejahteraan Sosial Antarabangsa (ISWC) 2026 edisi ke-13 pada Selasa, 29 September.
“Ini merupakan satu kemajuan tetapi masih terlalu ramai rakyat Malaysia yang berisiko kehabisan simpanan sepanjang tempoh persaraan yang mungkin mencapai selama 20 hingga 25 tahun,” kata Anwar.
Perlindungan Sosial Luar Sektor Formal Dan Bantuan Warga Emas
Perdana Menteri turut menggariskan cabaran liputan perlindungan sosial memandangkan jutaan rakyat kini berkhidmat di luar sektor pekerjaan formal konvensional, sedangkan sistem perlindungan sedia ada dirangka berasaskan sektor formal.
Sehubungan itu, jaminan persaraan perlu dimulakan dengan pendapatan serta pekerjaan yang baik, di mana agenda persaraan mesti digerakkan secara selari dengan agenda gaji negara.
Bagi menyokong kebajikan warga emas, Kerajaan telah memperuntukkan RM1.26 bilion yang memberi manfaat terus kepada 180,000 rakyat berusia, di samping memperluas pusat aktiviti komuniti serta membina sistem penjagaan berperingkat.
KWSP Memperkenal Inisiatif i-Legasi
Sementara itu, Pengerusi KWSP Tan Sri Mohd Zuki Ali memaklumkan pengenalan inisiatif i-Legasi sebagai langkah memperkukuh sokongan persaraan merentasi generasi.
Menerusi i-Legasi, ahli KWSP yang layak dan mempunyai simpanan persaraan mencukupi dibenarkan memindahkan sebahagian daripada simpanan mereka ke akaun KWSP ahli keluarga terdekat.
Langkah ini disokong oleh Rangka Kerja Kecukupan Pendapatan Persaraan yang menetapkan penanda aras terperinci meliputi Simpanan Asas, Simpanan Mencukupi, dan Simpanan Dipertingkat bagi memberi gambaran kewangan persaraan yang lebih jelas kepada ahli.
Sumber: BERNAMA
Back