KUCHING – Pemergian isteri kepada bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad, Tun Dr. Siti Hasmah Mohamad Ali, disifatkan sebagai satu kehilangan besar buat keluarga dan negara.
Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, Tun Dr. Siti Hasmah memainkan peranan penting sebagai tulang belakang kepada Tun Dr. Mahathir sepanjang tempoh kepimpinannya.
Menurut beliau, Tun Dr. Mahathir menerajui negara selama kira-kira 24 tahun, termasuk 22 tahun sebagai Perdana Menteri keempat dan hampir dua tahun sebagai Perdana Menteri ketujuh.
Beliau berkata, sumbangan dan sokongan Tun Dr. Siti Hasmah turut membantu Tun Dr. Mahathir melaksanakan tanggungjawab serta agenda kepimpinannya, khususnya sepanjang tempoh beliau menerajui negara.
Katanya, banyak perubahan yang berlaku dan pencapaian yang diraih Malaysia ketika era kepimpinan Tun Dr. Mahathir tidak dapat dipisahkan daripada sokongan serta pengorbanan Tun Dr. Siti Hasmah sebagai isteri dan pendamping beliau.
Sehubungan itu, Abdul Karim turut menzahirkan ucapan takziah kepada keluarga Allahyarhamah atas pemergian beliau.
Beliau berkata demikian semasa ditemui media, bagi mengulas mengenai pemergian Allahyarhamah Tun Dr. Siti Hasmah, pagi tadi.
#BilikBeritaCATS #CATSFM #Umobile
Back