KUCHING – Pemupukan nilai integriti dalam kalangan semua pihak yang terlibat dalam industri sukan amat penting, bagi memastikan hak serta pengorbanan atlet terus terpelihara.
Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Sarawak, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, setiap atlet pastinya kecewa sekiranya latihan dan pengorbanan yang dicurahkan selama ini disia-siakan akibat tindakan tidak bertanggungjawab pihak tertentu.
Beliau berkata, antara ancaman terhadap integriti sukan termasuk amalan rasuah, pengaturan perlawanan, penipuan serta penggunaan bahan terlarang yang bukan sahaja menjejaskan keputusan pertandingan, malah boleh memusnahkan kerjaya atlet.
Menurutnya, amalan sedemikian turut berpotensi menghakis keyakinan penyokong terhadap kesahihan keputusan sesuatu pertandingan serta kredibiliti industri sukan secara keseluruhannya.
Sehubungan itu, beliau menyambut baik penganjuran Persidangan Kebangsaan Integriti Sukan Sarawak yang julung kali diadakan, sebagai langkah penting untuk meningkatkan kesedaran mengenai kepentingan integriti dalam kalangan semua pihak yang terlibat dalam industri sukan.
Beliau berkata, usaha memperkukuh budaya integriti juga penting sebagai persediaan bagi memastikan penganjuran temasya Sukan SEA akan datang dapat berlangsung dalam suasana yang telus, adil dan berintegriti.
Beliau berkata demikian semasa ditemui media selepas menyempurnakan perasmian persidangan berkenaan, di Kuching, hari ini.
#BilikBeritaCATS #CATSFM #Umobile
Back