BETONG - Sarawak memerlukan lebih ramai doktor termasuk doktor gigi bagi memperkukuh perkhidmatan kesihatan, terutama di kawasan luar bandar.
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, sektor kesihatan negeri menawarkan lebih 3,000 peluang pekerjaan, dengan kira-kira 1,000 daripadanya untuk jawatan doktor.
Menurutnya, kekurangan tenaga perubatan termasuk doktor gigi perlu diberi perhatian bagi memastikan rakyat mendapat perkhidmatan kesihatan yang lebih baik.
Katanya, keperluan itu turut dirasai di Betong yang memerlukan perkhidmatan pergigian dan kesihatan yang lebih menyeluruh.
Sehubungan itu, kerajaan negeri mahu lebih ramai anak Sarawak menceburi bidang perubatan dan melanjutkan pengajian dalam bidang berkaitan.
Ujarnya lagi, peluang pendidikan tinggi yang disediakan menerusi Skim Pendidikan Tinggi Percuma (FTES) perlu dimanfaatkan anak Sarawak untuk mendapatkan pendidikan berkualiti.
Beliau mahu mereka belajar bersungguh-sungguh dan seterusnya kembali berkhidmat dan menyumbang kepakaran kepada negeri.
Datuk Patinggi Abang Johari berkata demikian ketika merasmikan Program Sarawakku Sayang (SKS) Bahagian Betong, hari ini.
#BilikBeritaCATS #CATSFM #Umobile
Back