BETONG - Sektor pertanian moden dan pelancongan dikenal pasti antara bidang berpotensi besar untuk memacu pembangunan ekonomi di Bahagian Betong.
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, penggunaan teknologi dalam sektor pertanian perlu dipertingkat menerusi kerjasama sektor swasta dan agensi berkaitan bagi meningkatkan produktiviti serta kualiti hasil.
Bercakap pada sidang media selepas menyempurnakan Program Sarawakku Sayang (SKS) Bahagian Betong di Kompleks Sukan Betong, hari ini, beliau berkata sisa kelapa sawit juga boleh diproses menjadi baja semula jadi bagi menyokong penghasilan makanan organik yang berpotensi menembusi pasaran antarabangsa, termasuk pasaran halal.
Dalam sektor pelancongan pula, ujarnya, penambahbaikan infrastruktur dan hubungan udara dilihat penting bagi memudahkan kemasukan pelancong, khususnya ke kawasan Batang Ai.
Datuk Patinggi Abang Johari turut menekankan keperluan melatih anak muda dalam kemahiran teknologi seperti pengendalian dron, selain meneroka tanaman saka yang bersesuaian dengan keadaan tanah setempat.
#BilikBeritaCATS #CATSFM #Umobile
Back