BETONG - Lapangan Terbang Landasan Pendek (STOLport) Bebuling di Spaoh, Betong menjadi bukti Kerajaan Gabungan Parti Sarawak (GPS) menepati janji kepada rakyat, selepas kemudahan itu siap dan menjalani penerbangan percubaan pada 18 September lalu.
Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata, kerajaan negeri bukan sekadar berjanji, sebaliknya memastikan setiap janji direalisasikan untuk manfaat rakyat.
Berucap pada Majlis Perasmian Program Sarawakku Sayang (SKS) Bahagian Betong di Kompleks Sukan Betong, hari ini, beliau berkata projek bernilai sekitar RM296 juta itu menyaksikan landasan dipanjangkan daripada kira-kira 900 kepada 1,125 meter.
Menurutnya, penerbangan dari Kuching ke Betong hanya mengambil masa sekitar 15 minit, berbanding kira-kira tiga jam melalui jalan darat.
Datuk Amar Uggah memberitahu STOLport berkenaan bakal menjadi ‘gateway’ baharu Betong, sekali gus membuka akses lebih luas kepada pergerakan penumpang, barangan dan peluang pelaburan.
Kemudahan itu juga dijangka menyokong pembangunan industri serta menghubungkan Betong dengan kawasan lain di Sarawak.
#BilikBeritaCATS #CATSFM #Umobile
Back