KUCHING - Budaya inovasi dalam perkhidmatan awam tidak seharusnya bersifat sehala daripada pihak atasan semata-mata.
Sebaliknya ia perlu mengambil kira idea berdasarkan pengalaman harian seluruh warga kerja, tanpa mengira pangkat dan gred jawatan.
Setiausaha Kerajaan Sarawak, Datuk Amar Mohamad Abu Bakar Marzuki berkata, setiap individu mempunyai kekuatan dan potensi tersendiri yang boleh menyumbang kepada pengukuhan sesebuah organisasi.
Menurutnya, apabila kekuatan itu dihimpunkan, ia mampu membentuk kekuatan organisasi yang lebih besar serta memberi impak yang lebih luas.
Sehubungan itu, beliau menggesa pemimpin organisasi supaya sentiasa mengenal pasti dan menghargai potensi rakan sekerja dan bukannya sekadar menumpukan perhatian kepada kelemahan.
Katanya, kecenderungan untuk hanya mencari kesalahan boleh mewujudkan budaya saling menyalahkan yang akhirnya menjejaskan semangat serta suasana kerja berpasukan.
Beliau berkata demikian semasa berucap pada Majlis Hari Inovasi dan Integriti Jabatan Tanah dan Survei Sarawak (HIITS) di Kuching, hari ini.
Tambah beliau, platform HIITS wajar dijadikan wadah inklusif untuk meraikan pencapaian, menggalakkan perkongsian pengalaman.
Di samping itu, ia juga menjadi platform Strategik untuk menterjemahkan idea daripada pelbagai peringkat warga kerja kepada tindakan yang memberi impak positif.
#BilikBeritaCATS #CATSFM #Umobile
Back