BAU - Seorang pemandu lori berusia 55 tahun berdepan kerugian berjumlah RM9,800 selepas dipercayai menjadi mangsa penipuan jual beli kenderaan secara dalam talian menerusi platform Facebook.
Ketua Polis Daerah Bau, Supt Mohd Haide A Rahman mengesahkan kejadian bermula pada 15 September lalu apabila mangsa terpengaruh dengan satu hantaran iklan yang menawarkan sebuah kenderaan pikap jenis Toyota Hilux 2.4G berwarna perak pada harga yang terlalu murah iaitu RM18,250.
Mangsa yang tertarik dengan tawaran berkenaan telah menghubungi individu yang mendakwa sebagai wakil jualan menerusi aplikasi WhatsApp sebelum diarah melakukan beberapa transaksi kewangan.
“Mangsa membuat bayaran pertama sebanyak RM3,000 pada 15 September ke sebuah akaun Maybank sebagai bayaran tempahan kenderaan. Pada 17 September, mangsa menerima panggilan daripada seorang wanita bernama 'Kayla' yang meminta bayaran RM5,000 kononnya bagi mengeluarkan kenderaan dari tempat simpanan bank,” kata Supt Mohd Haide.
Minta Bayaran Tambahan RM6,800 Bagi 'Aktifkan' Akaun
Menurut beliau, mangsa yang tidak mengesyaki sebarang penipuan telah melakukan dua kali urus niaga berjumlah RM5,000 pada hari berkenaan, diikuti bayaran tambahan RM1,800 pada 18 September bagi tujuan yang sama.
Walau bagaimanapun, suspek sekali lagi mendesak mangsa memasukkan wang tambahan sebanyak RM6,800 atas alasan kononnya untuk “mengaktifkan” bayaran yang didakwa tersalah buat sebelumnya.
Mangsa yang enggan meneruskan urus niaga berkenaan akhirnya menyedari dirinya ditipu selepas kesemua wakil jualan terbabit enggan bersemuka secara fizikal, menyebabkan kerugian keseluruhan mencecah RM9,800.
Siasatan Mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan
Laporan polis telah dibuat oleh mangsa di Balai Polis Padungan pada 21 September dan kes kini disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan bagi kesalahan menipu.
Pihak Polis Daerah Bau mengingatkan orang ramai agar sentiasa berwaspada dan tidak mudah terpedaya dengan tawaran harga kenderaan yang tidak munasabah di media sosial. Orang awam diseru membuat semakan rapi terhadap akaun bank serta maklumat penjual sebelum melakukan sebarang pemindahan wang.
Sekiranya berdepan situasi penipuan kewangan atau scam, orang ramai dinasihatkan untuk segera menghubungi Pusat Respons Penipuan Kebangsaan (NSRC) di talian 997 bagi menyekat pengaliran keluar wang berkenaan.
Sumber: Kenyataan Media KPD Bau
Back