KUCHING - Perkembangan pesat teknologi Kecerdasan Buatan (AI) kini, mula mencabar kerangka perundangan terutama melibatkan akta hak cipta dan hak milik royalti.
Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Hal Ehwal Penerangan, Korporat dan UKAS) Datuk Abdullah Saidol berkata, isu tersebut menjadi antara perkara yang dibangkitkan, dalam menilai cabaran masa depan pihak-pihak yang terkesan.
Antaranya yang terkesan termasuk dalam kalangan para pengamal media, pencipta kandungan media sosial, serta pemegang taruh industri kreatif negara.
Jelas beliau, status perlindungan undang-undang hak cipta bagi karya janaan AI serta identiti pemilik sahnya, masih menjadi persoalan yang memerlukan ketetapan perundangan yang jelas.
Berdasarkan kerangka undang-undang sedia ada, antara syarat asas bagi sesuatu karya untuk mendapatkan perlindungan hak cipta ialah mesti dihasilkan manusia.
Sehubungan itu, dilema tersebut menuntut badan berkaitan untuk melihat semula kerelevanan Akta Hak Cipta sedia ada.
Hal itu bagi memastikan undang-undang harta intelek negara, berkembang seiring dengan kepantasan inovasi itu.
Di samping itu, pencipta asal kandungan dinasihatkan agar berwaspada dalam mengagihkan kebergantungan kepada AI.
Ia demi memastikan hak milik intelek dan hasil kerja seni mereka kekal terjamin dari sudut undang-undang.
Beliau berkata demikian semasa berucap merasmikan Bengkel Media Sarawak 2026, sempena sambutan Hari Wartawan Nasional (HAWANA) Sarawak, di Kuching, hari ini.
#BilikBeritaCATS #CATSFM #Umobile
Back