PUTRAJAYA - Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) memberi jaminan bahawa pengenalan MyKad generasi baharu kekal berfungsi sebagai dokumen pengenalan diri rasmi dan tidak akan menjejaskan urusan bantuan serta subsidi kerajaan.
Pengarah Bahagian Kad Pengenalan JPN, Muhammad Asraf Sukadi menegaskan bahawa orang ramai tidak perlu bimbang berhubung gangguan penebusan atau kehilangan kelayakan bantuan seperti Sumbangan Asas Rahmah (SARA).
"Baki dan kelayakan SARA tidak disimpan di dalam MyKad sebaliknya direkodkan dalam sistem SARA. MyKad digunakan sebagai medium pengesahan penerima dan untuk membuat pembelian barangan keperluan asas di kedai atau pasar raya yang mengambil bahagian," katanya dalam kenyataan rasmi pada Khamis, 17 September 2026.
Tiada Keperluan Tukar Tergesa-Gesa Jika Kad Masih Elok
Menurut beliau, pemegang MyKad sedia ada tidak perlu menukar kad pengenalan mereka secara tergesa-gesa melainkan kad berkenaan telah mengalami kerosakan.
Walau bagaimanapun, penukaran wajib dibuat bagi pemegang Kad Pengenalan Plastik (KPP), Kad Pengenalan Bermutu Tinggi (KPT), dan MyKad versi lama yang tidak mempunyai ciri ghost image.
JPN turut bekerjasama dengan pelbagai kementerian dan agensi berkaitan bagi memastikan proses penyesuaian sistem berjalan berperingkat tanpa mengganggu perkhidmatan awam.
Boleh Disiapkan Dalam Tempoh Sehari Di 40 Cawangan JPN
Mulai Khamis, urusan pengeluaran MyKad generasi baharu boleh dilaksanakan di 40 cawangan JPN yang dilengkapi kemudahan pusat cetakan dengan tempoh siap pada hari yang sama.
Manakala bagi cawangan JPN yang tidak mempunyai pusat cetakan khas, permohonan masih boleh diproses dengan tempoh siap dalam masa lima hari bekerja.
MyKad generasi baharu ini dibina dengan standard keselamatan terbaharu yang merangkumi Hologram Keselamatan Dinamik dan Transparent Window di bahagian hadapan, serta Kod QR Penguatkuasaan dan Cip Antara Muka Dwi Fungsi di bahagian belakang.
Sumber: BERNAMA
Back