KUALA LUMPUR – Kerjasama antara Affin Hwang Investment Bank Berhad dengan bursa derivatif terkemuka Eropah, Eurex, membuka akses lebih luas kepada pelabur Malaysia ke pasaran niaga hadapan Eropah.
AFFIN Hwang dalam kenyataannya memaklumkan, kerjasama itu membolehkan pelanggan yang layak mengakses niaga hadapan terpilih yang disenaraikan di Eurex menerusi laluan tempatan.
Langkah itu sekali gus memperluas penawaran Niaga Hadapan Luar Negara AFFIN Hwang, selain memberi peluang kepada pelabur untuk mempelbagaikan portfolio melangkaui pasaran domestik.
Penawaran berkenaan merangkumi beberapa kelas aset utama, termasuk indeks ekuiti, kadar faedah, ekuiti dan kemeruapan.
Ketua Pegawai Eksekutif Affin Hwang Investment Bank Berhad, Hanif Ghulam Mohammed berkata, pasaran Eropah menyediakan sumber pendedahan yang berbeza kepada pelabur.
Ia khususnya dalam aspek ekuiti, kadar faedah dan kemeruapan.
Menurut beliau, kerjasama dengan Eurex membolehkan pasaran berkenaan dibawa lebih dekat kepada pelanggan menerusi platform tempatan yang dipercayai.
Akses itu turut menyediakan instrumen tambahan kepada pelabur untuk mempelbagaikan pelaburan, mengurus risiko portfolio dan bertindak balas terhadap perkembangan sepanjang kitaran pasaran global.
Dalam pada itu, AFFIN Hwang akan terus memberi penekanan terhadap pendidikan pelabur bagi meningkatkan pemahaman mengenai niaga hadapan antarabangsa.
Perkembangan terbaharu itu merupakan sebahagian daripada usaha memperluas perniagaan Niaga Hadapan Luar Negara AFFIN Hwang yang diperkukuh secara berperingkat sejak 2023 menerusi kerjasama strategik dengan pemain pasaran global.
Pada majlis pelancaran rasmi di Kuala Lumpur itu, Eurex turut menyampaikan anugerah Best Emerging Broker kepada AFFIN Hwang.
Pengiktirafan itu diberikan sebagai mengiktiraf pertumbuhan AFFIN Hwang dalam segmen niaga hadapan luar negara, komitmennya terhadap pendidikan pelabur serta usaha memperluas akses kepada pasaran derivatif antarabangsa.
#BilikBeritaCATS #CATSFM #UMOBILE
Back