KUCHING – IBRACO Berhad hari ini menjalin kerjasama strategik bersama Affin Bank Berhad, bagi menawarkan penyelesaian pembiayaan kepada pembeli hartanah.
Ia termasuk membantu mereka yang menghadapi komplikasi berkaitan Nisbah Khidmat Hutang (DSR).
Ketua Pegawai Pemasaran IBRACO, George Ting berkata, kerjasama itu susulan pelancaran projek NorthBank Business Exchange (NBX) semalam.
Beliau menyifatkan projek itu sebagai lembaran baharu dalam perjalanan IBRACO sebagai pemaju hartanah di Sarawak.
Menurut beliau, kerjasama dengan Affin membolehkan pembeli hartanah NBX mendapat pilihan pembiayaan yang dapat membantu menangani cabaran berkaitan DSR.
Ia sekali gus menjadikan perjalanan mereka ke arah pemilikan rumah lebih mudah diakses.
Beliau berkata, IBRACO sentiasa peka terhadap perubahan keperluan dan jangkaan pembeli rumah yang kini bukan sahaja mementingkan kediaman.
Sebaliknya, pembeli juga turut mahukan persekitaran yang menyokong cara mereka hidup, bekerja, beriadah dan berhubung.
Tambah beliau, peranan pemaju hartanah kini tidak lagi terhad kepada penyediaan hartanah semata-mata.
Akan tetapi, pemaju perlu memahami cara hidup, nilai dan keperluan para pembeli bagi memastikan setiap pembangunan kekal relevan.
Sehubungan itu, kerjasama dengan rakan strategik seperti Affin Bank penting dalam memastikan pembeli medapat sokongan pembiayaan yang bersesuaian dengan keperluan masing-masing.
Beliau berkata demikian semasa berucap pada Majlis Pertukaran Kerjasama Strategik antara IBRACO dan Affin Bank di Kuching, hari ini.
#BilikBeritaCATS #CATSFM #Umobile
Back