KUCHING - Sarawak menjadi antara negeri tumpuan Kelab Wanita Ikon Malaysia (KWIM) dalam memperkukuh gerakan pemerkasaan wanita menerusi penglibatan tokoh tempatan.
Presidennya, Datuk Normaziah Sheikh Mohamed berkata pendekatan memilih Wanita Ikon mengikut negeri penting bagi memastikan keperluan dan cabaran wanita tempatan dapat difahami dengan lebih dekat.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada program Keringkam Kenyalang: Gerakan Pemerkasaan Wanita Sarawak 2026 di Dewan Wisma Wanita, Kuching, hari ini.
Menurutnya, gelaran Wanita Ikon hadir bersama tanggungjawab selama dua tahun untuk melaksanakan program tanggungjawab sosial korporat (CSR) serta inisiatif pemerkasaan wanita.
KWIM turut memberi tumpuan kepada pemerkasaan ekonomi wanita Sarawak menerusi usaha membantu mereka menjana pendapatan, menceburi perniagaan dan membina kemandirian kewangan.
Dato Normaziah turut menyeru wanita Sarawak supaya mengetepikan persaingan tidak sihat, sebaliknya saling menyokong dan mengangkat kejayaan antara satu sama lain.
Katanya, gerakan Wanita Ikon kini menghimpunkan wanita dari seluruh Malaysia untuk bergabung tenaga dan kepakaran bagi membantu golongan yang memerlukan.
KWIM mempunyai puluhan ribu ahli di seluruh negara dengan keahlian percuma, selain terus memberi tumpuan melahirkan barisan pelapis bagi memastikan agenda pemerkasaan wanita dapat diteruskan.
#BilikBeritaCATS #CATSFM #Umobile
Back