KUCHING - Bukan sekadar memasak di dapur, Chef Imelda Harris mahu menjadikan kepakarannya sebagai pencetus perubahan buat wanita Sarawak menerusi gerakan Keringkam Kenyalang.
Wanita Ikon Sarawak 2026/2027 itu kini membawa misi lebih besar untuk menghimpunkan wanita berkemahiran dari seluruh pelosok negeri tanpa mengira bidang dan latar belakang.
Daripada seni, kraftangan, sulaman dan masakan, hinggalah pendidikan serta keusahawanan, semuanya bakal disatukan menerusi satu gerakan yang memfokuskan kepada usaha memperkasa wanita Sarawak.
Ketika ditemui pada Program Keringkam Kenyalang: Gerakan Pemerkasaan Wanita Sarawak 2026 di Dewan Wisma Wanita, Kuching, hari ini, Imelda berkata program berkenaan akan dibawa ke seluruh Sarawak, dari Kuching hingga Lawas.
Katanya, pendekatan bergerak dari satu lokasi ke lokasi lain penting bagi memastikan wanita di kawasan yang jauh turut mendapat peluang berkongsi ilmu, mempamerkan kepakaran serta membina jaringan.
Setiap program Keringkam Kenyalang akan menggabungkan tiga elemen utama iaitu perkongsian, pameran kemahiran dan interaksi.
Bukan sekadar mendengar perkongsian, peserta turut diberi peluang mencuba sendiri pelbagai kemahiran termasuk memasak, menyulam dan solekan.
Menurut Imelda, perkongsian pengalaman dan kepakaran amat penting kerana wanita memerlukan sokongan serta motivasi untuk terus berkembang.
Beliau berkata, apabila wanita saling berkongsi pengalaman, mereka bukan sahaja dapat membina jaringan, malah mampu meningkatkan keyakinan untuk mencuba perkara baharu.
Bagi Imelda, pengiktirafan sebagai Wanita Ikon Sarawak 2026/2027 bukan sekadar satu pencapaian peribadi, sebaliknya amanah untuk membuka lebih banyak ruang kepada wanita di negeri itu.
Beliau mahu Keringkam Kenyalang berkembang sebagai satu gerakan yang mampu bertahan dalam jangka panjang dan seterusnya diwarisi generasi akan datang.
Katanya, ilmu tidak pernah berkurang apabila dikongsi, sebaliknya terus berkembang apabila diwariskan kepada orang lain.
Dari dapur Sarawak ke pentas dunia, Imelda percaya wanita mempunyai potensi besar untuk mencipta perubahan, asalkan berani mencuba, saling menyokong dan tidak takut untuk terus belajar.
Justeru, katanya, Keringkam Kenyalang bukan sekadar sebuah program, tetapi satu usaha membina ekosistem wanita Sarawak yang lebih berdaya, berkeyakinan dan mampu meninggalkan legasi untuk generasi seterusnya.
#BilikBeritaCATS #CATSFM #Umobile
Back