SIBU - Kementerian Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak (MTCP) komited untuk terus memberi sokongan terhadap penganjuran festival berasaskan komuniti seperti Pesta Air Sibu Jaya.
Menterinya, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, pesta berkenaan bukan sahaja menawarkan pelbagai aktiviti menarik, malah berperanan sebagai platform penting bagi memperkukuh institusi kekeluargaan serta semangat kebersamaan.
Menurut beliau, konsep komuniti yang diterapkan membolehkan semua peringkat masyarakat terlibat secara langsung tanpa mengira latar belakang kaum.
“Antara perkara paling menarik mengenai Pesta Air Sibu Jaya ialah ia berasaskan komuniti. Semua lapisan masyarakat menyertai bersama tanpa mengira kaum, merangkumi komuniti Dayak, Melayu, Melanau, dan Cina,” kata beliau ketika ditemui di Kompleks Sukan Komuniti Azman Hashim, Sibu Jaya.
Beliau menambah, sambutan terhadap pesta berkenaan dilihat semakin menggalakkan dari tahun ke tahun, dengan kehadiran lebih 10,000 pengunjung yang memeriahkan penganjuran pada tahun ini.
Penglibatan menyeluruh pelbagai kaum ini membuktikan bahawa program bertemakan komuniti mampu menjadi medium berkesan untuk mengeratkan silaturahim antara penduduk setempat.
Di samping itu, Pesta Air Sibu Jaya turut memberikan peluang kepada ahli keluarga daripada pelbagai peringkat umur untuk beriadah bersama-sama.
Penglibatan aktif dapat dilihat merangkumi golongan kanak-kanak, ibu bapa sehinggalah datuk dan nenek yang hadir meluangkan masa berkualiti bersama keluarga, sekali gus menyerlahkan keharmonian masyarakat di Sarawak.
Sumber: Laman Facebook Rasmi Unit Komunikasi Awam Sarawak - UKAS
Back