KUCHING - Perluasan Program Pembaharuan Teksi MADANI Nasional ke Sarawak, membawa dimensi baharu kepada ekosistem pengangkutan awam tempatan.
Timbalan Menteri Pengangkutan, Datuk Hasbi Habibollah berkata, program berkenaan menyaksikan pengenalan identiti baharu teksi, berasaskan teknologi digital dan ciri kenderaan moden.
Menurut beliau, pelaksanaannya memberi manfaat secara langsung kepada 446 pemandu teksi dan 170 pemandu kereta sewa negeri ini yang berdaftar dengan Lembaga Pelesenan Kenderaan Perdagangan (LPKP) Sarawak.
Menerusi pelaksanaan program tersebut, perkhidmatan teksi kini diberi nafas baharu dengan identiti yang lebih segar.
Ia termasuk penawaran model baharu Proton S70 yang lebih cekap bahan api, penggunaan nombor pendaftaran khas "GET", meter teksi digital, dan reka bentuk tanpa 'taxi topper'.
Pada masa sama, kerajaan juga komited memastikan kebajikan pemandu terus terbela.
Komitmen itu dizahirkan menerusi inisiatif keutamaan pemeriksaan berkala di PUSPAKOM dan penawaran pakej pembiayaan fleksibel bagi mengurangkan beban kos operasi jangka panjang.
Tambah beliau, landskap industri teksi di Malaysia kini beroperasi di atas medan persaingan yang lebih adil.
Jelasnya, pemandu teksi tidak lagi terikat dengan kaedah lama semata-mata, sebaliknya boleh beroperasi secara serentak sama ada mengambil penumpang di stesen atau menerusi platform tempahan dalam talian.
Pelaksanaan langkah pembaharuan tersebut membuktikan komitmen kerajaan dalam memperluas agenda pemodenan ke seluruh negara, yang tidak hanya tertumpu di semenanjung sahaja.
Beliau berkata demikian semasa ditemui media, selepas menyempurnakan Program Pembaharuan Teksi MADANI Nasional Peringkat Sarawak, di Kuching, hari ini.
#BilikBeritaCATS #CATSFM #Umobile
Back