SINGAPURA - Pusat Meteorologi Khas ASEAN (ASMC) mengaktifkan amaran Tahap 3 bagi bahagian selatan rantau ASEAN susulan kualiti udara dan risiko jerebu rentas sempadan yang semakin memburuk.
Menurut kenyataan rasmi ASMC, peningkatan aktiviti titik panas ini berpunca daripada fenomena cuaca kering berpanjangan yang sedang melanda rantau ini.
Pantauan satelit mendapati kepulan asap jerebu tebal dari kelompok titik panas di Kalimantan Barat telah bergerak ke arah utara dan memasuki kawasan barat Sarawak.
“Beberapa stesen pemantauan kualiti udara di Kalimantan Barat dan Selatan, tengah dan selatan Sumatera serta bahagian barat Sarawak merekodkan tahap Tidak Sihat hingga Berbahaya,” menurut laporan harian ASMC.
Ratusan Titik Panas Dikesan Satelit NOAA-20
Berdasarkan pencerapan satelit NOAA-20 pada 24 dan 25 Ogos lalu, sebanyak 287 dan 190 titik panas dikesan di Kalimantan, manakala di Sumatera pula mencatatkan 65 dan 81 titik panas.
Jerebu tebal turut dilaporkan meliputi sebahagian besar wilayah tengah dan selatan Sumatera.
Dalam pada itu, Agensi Sekitaran Kebangsaan (NEA) Singapura mengesahkan kualiti udara di negara jiran itu masih berada pada paras Sederhana dengan bacaan Indeks Pencemaran Udara (PSI) 24 jam julat 56 hingga 64.
Sumber: BERNAMA
Back