PADAWAN: Bahagian Siasatan Jenayah Komersil Daerah (BSJKD) IPD Padawan telah melaksanakan Op Vulture bagi membanteras dan menurunkan kain rentang (banner) iklan pemberi pinjaman wang tidak berlesen di sekitar daerah Padawan, hari ini, 27 Ogos 2026.
Operasi penguatkuasaan yang bermula sekitar jam 11:00 pagi itu difokuskan di sepanjang kawasan utama Jalan Kuching-Serian, Siburan.
Operasi yang diketuai oleh anggota BSJKD IPD Padawan itu menyasar kepada iklan-iklan haram yang digantung di kawasan awam bagi memperdaya masyarakat tempatan.
"Hasil operasi berkenaan telah berjaya menurunkan sebanyak 15 keping banner yang dipasang secara haram pada tiang elektrik, papan tanda lorong perumahan, serta pokok-pokok di sekitar lokasi terlibat," menurut IPD Padawan di laman facebook rasminya.
Polis Ingatkan Orang Ramai Bahaya Ceti Haram
Menerusi operasi berkenaan, pihak polis turut memberikan nasihat dan amaran tegas kepada masyarakat supaya tidak terpengaruh atau berurusan dengan mana-mana pemberi pinjaman wang tidak berlesen.
Tindakan berurusan dengan entiti haram berkenaan boleh mendedahkan peminjam serta keluarga kepada pelbagai risiko keselamatan seperti ugutan fizikal, gangguan ketenteraman, dan penipuan syarat pinjaman.
Orang ramai yang memerlukan bantuan kewangan disaran supaya sentiasa mendapatkan perkhidmatan daripada institusi perbankan atau entiti pemberi pinjaman yang sah dan berdaftar di bawah undang-undang.
Sumber: Laman Web Rasmi Polis IPD Padawan (27 Ogos 2026)
Back