KUCHING - Angkatan Zaman Mansang (AZAM) Sarawak menerusi kerjasama dengan ANCHR AI Labs Singapore dan Ibrandium bakal mengumpulkan bakat tempatan dalam Singapore–Sarawak Friendship AI Business Design Hackathon 2026 pada 3 dan 4 September ini di Kuching.
Program dua hari yang berlangsung di AFFIN Bank Hikmah Exchange itu bertujuan menghubungkan bakat Sarawak dan Singapura dengan teknologi terkini serta jaringan serantau, sekali gus memberi peluang praktikal mengaplikasikan Kecerdasan Buatan (AI).
Menerusi kerjasama ini, platform Kimi AI menerusi syarikat induknya Moonshot AI menyediakan kredit API percuma kepada 10 pasukan peserta berusia 16 hingga 60 tahun untuk menyelesaikan cabaran perniagaan sebenar PKS Sarawak tanpa memerlukan latar belakang pengkodan (coding).
"Anak muda kita tidak sepatutnya sekadar menjadi pemerhati perkembangan teknologi dari jauh. Mereka perlu diberi peluang untuk mengakses, memahami dan mengaplikasikannya secara langsung," kata Ketua Pegawai Eksekutif AZAM Sarawak, Ali Suhaili.
Pembangunan Penyelesaian Digital PKS Dan Jaringan Duta Belia
Pengurus Komunikasi Strategik, Media dan Hubungan Belia AZAM Sarawak, Hassnal Hakim Junaidi menambah bahawa penglibatan Kimi AI memberi dimensi baharu untuk peserta meneroka model AI termaju.
Sementara itu, Pengasas dan KETUA Pegawai Eksekutif ANCHR AI Labs, Soh Wan Wei menzahirkan penghargaan atas sokongan berterusan Singapore Global Network yang membolehkan inisiatif ini berkembang menjadi rakan perniagaan yang kukuh.
Program ini turut dimeriahkan dengan peluncuran Singapore-Sarawak AI Youth Ambassador Network sebagai platform lanjutan untuk pertukaran ilmu dan kerjasama belia merentasi sempadan.
Orang ramai atau pihak media yang ingin mendapatkan maklumat lanjut boleh menghubungi AZAM Sarawak di talian 082-411 799.
Sumber: Kenyataan Media AZAM Sarawak (26 Ogos 2026)
Back