KUALA LUMPUR - Penyedia rangkaian 5G, U Mobile memeterai Memorandum Persefahaman (MoU) bersama Asia OneHealthcare Group (A1H) bagi menempatkan liputan 5G dalam bangunan (ULTRA5G In-Building Coverage) di 15 hospital di seluruh negara.
Langkah berkenaan menandakan peluasan terbaharu U Mobile ke dalam sektor kesihatan, sekali gus memperkukuh jejak rangkaian 5G dalam bangunan syarikat berkenaan.
Fasa awal penempatan liputan ini melibatkan hospital terpilih bawah pengurusan A1H termasuk Pusat Perubatan Subang Jaya (SJMC) serta rangkaian hospital Columbia Asia. SJMC menjadi premis perubatan pertama yang telah mengaktifkan rangkaian berkelajuan tinggi tersebut secara rasmi.
"Sebagai penyedia rangkaian 5G, U Mobile percaya sektor kesihatan amat memerlukan sambungan dalam bangunan yang stabil untuk menyokong operasi harian dan pengalaman pengguna," kata Ketua Pegawai Perniagaan U Mobile, How Lih Ren.
Teroka Teknologi Sistem Wad Pintar Dan AI
Selain penyediaan liputan 5G, kerjasama ini turut menyaksikan U Mobile dan A1H menilai potensi teknologi 5G-Advanced serta kecerdasan buatan (AI) bagi menyokong pelbagai aplikasi kesihatan inovatif.
Menerusi platform Enterprise Innovation Platform (EIP) U Mobile, kedua-dua pihak akan menjalankan inisiatif bukti konsep bagi meneroka aplikasi baharu seperti sistem wad pintar (smart ward systems).
Langkah penyediaan di hospital A1H ini menambah jumlah liputan 5G dalam bangunan U Mobile yang kini telah merangkumi lebih 200 tapak di seluruh negara.
Sumber: Kenyataan Media Umobile
Back