KUCHING - Ungkapan bahasa Iban “Nda manah mimpi... anang baka nyak” yang bermaksud “Mimpi tidak bagus… jangan begitu” kekal terpahat dalam ingatan Yang Dipertua Negeri Sarawak, Tun Pehin Sri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar meskipun telah berlalu lebih 50 tahun.
Ayat berkenaan merupakan kata-kata terakhir anggota Pasukan Polis Hutan (PPH), Konstabel Jabu Ajai sebelum beliau terkorban dalam pertempuran memburu pengganas komunis di Tulai, Binatang (kini Bintangor) pada tahun 1971.
Mengimbau peristiwa berkenaan, Tun Wan Junaidi yang ketika itu mengetuai platun berpangkat Inspektor menjelaskan insiden itu memberi pengajaran mendalam tentang erti tanggungjawab, kawalan emosi, serta pertimbangan nilai kemanusiaan.
"Dalam pertempuran itu, rakan rapat Jabu iaitu Koperal Majani yang emosi dan hilang pertimbangan hampir melepaskan tembakan ke arah orang awam di sebuah rumah persinggahan musuh. Saya segera bertindak menahan tindakan tersebut kerana prinsip kemanusiaan tidak boleh dikompromi," imbau beliau.
Kepercayaan Dan Semangat Kebersamaan Platun
Selain aspek taktik peperangan, Tun Wan Junaidi menekankan kepentingan seorang pemimpin untuk memahami budaya dan kepercayaan anak buahnya yang terdiri daripada pelbagai kaum seperti Iban, Orang Ulu, dan Melayu.
Pengalaman meredah hutan tebal mengajar beliau untuk merendah diri dan menghormati pandangan anggota yang lebih berpengalaman, termasuk dalam keputusan memindahkan kedudukan tapak perkhemahan demi memastikan ketenangan mental serta keselamatan pasukan.
Segala pengalaman perjuangan beliau mempertahankan tanah air daripada ancaman komunis sebelum berkecimpung dalam bidang undang-undang dan politik turut diabadikan menerusi buku karangan beliau bertajuk ‘A Policeman’ yang diterbitkan pada tahun 2014.
Sumber: BERNAMA
Back