SRI AMAN - Penduduk di Daerah Pantu dan kawasan sekitarnya berdepan gangguan bekalan air tidak berjadual susulan penurunan paras air mentah di muka sauk Loji Rawatan Air (LRA) Pantu.
Menurut notis rasmi Jabatan Bekalan Air Luar Bandar (JBALB) Sarawak di laman Facebooknya hari ini, 25 Ogos 2026, gangguan berkenaan bermula jam 10.00 pagi dan akan berlarutan sehingga paras air mentah kembali stabil.
Kawasan yang terjejas merangkumi seluruh kawasan Pantu, Sungai Tengang, Rapak, dan Lachau.
"Paras air mentah di muka sauk yang berada pada tahap rendah telah menjejaskan kapasiti pengeluaran air terawat. Bagi memastikan agihan bekalan air dapat dilaksanakan secara seimbang kepada semua pengguna, pelaksanaan catuan bekalan air akan dijalankan sepanjang tempoh ini," menurut notis JBALB.
Bekalan Bergantung Kepada Pasang Surut Air Muka Sauk
Menerusi pelaksanaan catuan tersebut, penutupan dan pelepasan bekalan air akan bergantung sepenuhnya kepada pergerakan pasang surut paras air mentah di muka sauk LRA Pantu.
Pihak JBALB memohon maaf atas sebarang kesulitan dan menasihatkan para pengguna di kawasan terjejas supaya menyimpan air secukupnya serta menggunakannya secara berhemat sepanjang tempoh pemulihan berperingkat ini.
Sumber: Laman Facebook Rasmi Jabatan Bekalan Air Luar Bandar - JBALB
Back