KOTA SAMARAHAN - Majlis Perbandaran Kota Samarahan (MPKS) mengumumkan penangguhan Karnival Perpaduan Stakan yang sepatutnya berlangsung pada 26 hingga 30 Ogos 2026.
Menurut kenyataan rasmi MPKS hari ini, keputusan tersebut dibuat berikutan keadaan jerebu yang semakin memburuk serta peningkatan bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) di Sarawak, khususnya di Daerah Kota Samarahan.
Langkah pencegahan ini diambil demi keutamaan kesihatan, keselamatan, serta kesejahteraan masyarakat awam.
"MPKS mengambil langkah berjaga-jaga dengan menangguhkan penganjuran karnival tersebut demi menjaga kesihatan, keselamatan dan kesejahteraan orang ramai, khususnya para pengunjung, peserta, peniaga, petugas serta semua pihak yang terlibat," menurut kenyataan media MPKS.
Semua Aktiviti Dibekukan Sementara Waktu
Susulan penangguhan ini, kesemua pengisian aktiviti dan program yang telah dirancang sepanjang lima hari karnival tersebut akan ditangguhkan sehingga ke satu tarikh baharu.
Pihak MPKS turut memohon maaf atas sebarang kesulitan yang dihadapi oleh peniaga dan pengunjung, serta menyatakan bahawa sebarang maklumat penjadualan semula akan dimaklumkan dari semasa ke semasa menerusi saluran rasmi MPKS.
Sumber: Kenyataan Media Majlis Perbandaran Kota Samarahan
Back