MUKAH 0 Seorang suri rumah warga tempatan berdepan tindakan undang-undang selepas ditahan polis kerana disyaki memiliki dadah jenis Methamphetamine di Jalan Mukah-Balingian, Isnin, 24 Ogos 2026.
Ketua Polis Daerah Mukah, DSP Muhamad Rizal bin Alias berkata, tangkapan dilakukan oleh sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik IPD Mukah dalam satu serbuan di hadapan sebuah rumah tidak bernombor sekitar jam 1.00 tengah hari.
Hasil pemeriksaan di lokasi menemui satu keratan tiub straw lutsinar mengandungi ketulan kristal dipercayai dadah jenis syabu dengan anggaran berat kasar 0.45 gram dalam simpanan suspek.
"Suspek berusia 49 tahun bersama barang rampasan dibawa ke IPD Mukah untuk tindakan lanjut. Hasil ujian saringan urin yang dijalankan mendapati suspek negatif dadah," katanya dalam kenyataan media rasmi.
Direman Tiga Hari Bantu Siasatan
Kes disiasat di bawah Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952 kerana memiliki dadah tanpa kebenaran yang sah. Jika sabit kesalahan, suspek boleh dikenakan hukuman denda maksimum RM100,000 atau penjara sehingga 5 tahun, atau kedua-duanya sekali.
Suspek kini direman selama tiga hari bermula hari ini sehingga 28 Ogos 2026 bagi melengkapkan siasatan.
Pihak polis menegaskan akan terus mempergiatkan usaha membanteras penyalahgunaan dadah dan meminta masyarakat yang mempunyai maklumat berkaitan kes jenayah supaya menghubungi hotline IPD Mukah di talian 084-871222.
Sumber: Kenyataan Media KPD Mukah (25 Ogos 2026)
Back