KUCHING – Acara ‘AI For Makers: Borneo Makers Festival’ dirancang menjadi acara utama yang menghimpunkan pencipta teknologi kecerdasan buatan (AI) dan digital dari seluruh Malaysia di Kuching.
Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Hal Ehwal Penerangan, Korporat dan UKAS), Datuk Abdullah Saidol berkata, penganjuran acara itu selari dengan kesungguhan Sarawak dalam membina ekosistem inovasi bagi melahirkan lebih ramai pakar tempatan untuk pembangunan negeri.
Menurut beliau, penganjuran edisi sulung acara itu dengan peruntukan sederhana sekitar RM300,000 menerima sambutan memberangsangkan, termasuk penghasilan pelbagai produk berimpak tinggi.
Justeru, Tabung Ekonomi Gagasan Anak Sarawak (TEGAS) selaku penganjur disaran memohon peruntukan lebih besar bagi membolehkan program berkenaan diperluas dan dianjurkan pada skala lebih besar pada masa akan datang.
Dalam pada itu, setiap maklum balas daripada peserta akan dikumpulkan dan dibentangkan kepada Premier Sarawak sebagai input bagi menambah baik pelaksanaan acara itu pada masa hadapan.
Selain itu, kerajaan juga bersedia meneliti secara serius sebarang cadangan atau keperluan yang dikemukakan peserta, termasuk membantu mereka dalam usaha memasarkan produk yang dihasilkan.
Menerusi usaha tersebut, beliau yakin Sarawak berpotensi melahirkan lebih ramai usahawan digital yang berjaya, sekali gus memperkukuh ekosistem inovasi serta ekonomi digital negeri.
Beliau berkata demikian semasa berucap merasmikan Majlis Penutupan ‘AI For Makers: Borneo Makers Festival’ di Kuching, hari ini.
#BilikBeritaCATS #CATSFM #Umobile
Back