KUCHING - Sarawak bakal menghimpunkan pakar dan delegasi dari Malaysia, Indonesia dan Filipina menerusi Persidangan Pengetahuan Antarabangsa (IKC) 2026 bagi membincangkan kepentingan pengetahuan yang sahih dan dipercayai dalam mendepani perkembangan kecerdasan buatan (AI).
Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat Sarawak, Datuk Seri Roland Sagah Wee Inn, berkata perkembangan pesat AI menjadikan peranan institusi Galeri, Perpustakaan, Arkib dan Muzium (GLAM) semakin penting dalam memastikan masyarakat mempunyai akses kepada sumber maklumat yang sahih dan berautoriti.
Menurutnya, IKC 2026 turut menjadi platform menghimpunkan masyarakat, ahli akademik, penyelidik, penjawat awam dan pemain industri bagi memperkukuh kefahaman serta kemahiran berkaitan AI, pengurusan data dan tadbir urus maklumat.
Bercakap pada sidang media di Kuching hari ini, beliau memberitahu persidangan itu penting dalam memperkukuh kefahaman masyarakat tentang bagaimana pengetahuan yang dipercayai dapat dikekalkan dan dimanfaatkan dalam era AI.
Persidangan anjuran Pustaka Negeri Sarawak itu akan berlangsung dari 23 hingga 26 November ini di Kuching.
Selain menghimpunkan pakar dari tiga negara, Datuk Seri Roland berkata persidangan berkenaan turut menampilkan 17 pembentangan kertas profesional, 100 pembentangan poster penyelidikan serta 20 pameran teknologi.
Jelasnya, penganjuran IKC 2026 selari dengan aspirasi Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 (PCDS) 2030 Sarawak, khususnya dalam memperkukuh ekonomi digital dan inovasi serta menggalakkan penggunaan teknologi baharu secara bertanggungjawab.
#BilikBeritaCATS #CATSFM #Umobile
Back